MELAKA – Seorang tukang masak maut selepas basikal ditunggangnya dipercayai tersangkut pada penutup longkang sebelum terjatuh di Bukit Beruang, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 malam itu, mangsa, Ahmad Shazlye Hassan, 36, mengalami kecederaan pada muka dan kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata mangsa yang bekerja sebagai tukang masak beralamat di Taman Bunga Raya, Bukit Beruang, bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka kira-kira jam 9 malam.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa menunggang basikal dari arah Jalan Dahlia 6 menuju ke persimpangan Jalan Dahlia 2 dan Jalan Dahlia 7.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, tayar hadapan basikal dipercayai termasuk ke dalam penutup longkang menyebabkan mangsa terjatuh sendiri dan mengalami luka di muka dan kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kejadian mengakibatkan basikal berkenaan mengalami kerosakan pada bahagian pemegang, manakala kenderaan terbabit telah dialihkan dari lokasi asal sebelum siasatan dijalankan.
Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















