KUALA LUMPUR – Pas melahirkan kebimbangan kemungkinan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik menjadi ‘korban politik’ atau konsesi diplomatik dalam usaha Malaysia memperkukuh hubungan dengan India.
Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata, kebimbangan itu timbul susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa isu ekstradisi Zakir Naik dibincangkan dalam pertemuan terbaharunya dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi di New Delhi.
Katanya, kerajaan perlu menjelaskan kepada awam status sebenar permohonan ekstradisi berkenaan dari sudut perundangan dan diplomatik, termasuk perkara yang dibincangkan serta sebarang persefahaman yang dicapai dalam pertemuan itu.
“Paling penting, kenyataan itu turut menyebut bahawa isu berkenaan merupakan sebahagian daripada agenda keutamaan ke arah membina kepercayaan dan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan India, namun pada masa sama isu tersebut perlu ditangani dengan berhati-hati, sekali gus menghormati undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan sama ada keterangan dan dokumentasi yang dikemukakan India bagi menyokong permohonan ekstradisi itu memenuhi syarat yang ditetapkan undang-undang Malaysia.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Malaysia sudah membuat sebarang komitmen politik, sama ada secara eksplisit atau sebaliknya, berkaitan ekstradisi Zakir Naik yang merupakan Pemastautin Tetap negara ini sejak 2012 dan status itu disahkan secara rasmi Menteri Dalam Negeri ketika itu pada April 2017.
Takiyuddin menegaskan, hubungan Malaysia dan India yang telah lama terjalin dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan, teknologi serta bidang strategik lain tidak boleh mengatasi peruntukan undang-undang negara.
“Namun hubungan dua hala yang baik tidak boleh mengatasi syarat dan ketetapan undang-undang negara yang mengawal proses dan perjalanan ekstradisi.
“Malaysia seharusnya memberi pertimbangan wajar kepada apa-apa permohonan ekstradisi yang sah daripada mana-mana negara asing selaras dengan proses undang-undang, bukan transaksi atau tawar-menawar politik,” katanya.
Menurutnya, isu itu bukan semata-mata berkaitan hubungan diplomatik Malaysia-India, sebaliknya menguji pendirian kerajaan dalam mempertahankan undang-undang negara ketika berdepan kepentingan diplomatik.
“Hubungan baik dengan mana-mana negara adalah penting, namun kedaulatan negara dan integriti sistem keadilannya lebih penting dan mesti dipertahankan. Satu tidak boleh dikorbankan untuk kepentingan yang lain,” katanya.
Semalam dilaporkan, Anwar mengesahkan isu ekstradisi pendakwah kontroversi yang dikehendaki di negara asalnya, India, berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan ucapan berunsur kebencian, dilaporkan antara perkara yang dibincangkan dalam rundingan antara wakil negara itu.
Menurut laman berita India New Delhi Television (NDTV), Anwar mengesahkan bahawa perbincangan mengenai perkara itu diadakan secara “tertutup”, yang dipercayai berlangsung di New Delhi. – MalaysiaGazette
















