KUALA LUMPUR – Empat daripada tujuh pemancing yang dilaporkan hilang selepas keluar ke laut ditemukan dalam keadaan terapung oleh bot nelayan tempatan di perairan Sekinchan, tengah hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, empat mangsa ditemui ketika operasi mencari dan menyelamat memasuki hari kedua dengan pencarian diperluas bagi mengesan tiga lagi mangsa yang masih belum ditemukan.
“Bagaimanapun, keadaan berjerebu mengehadkan jarak penglihatan dan sedikit menyukarkan operasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi yang diselaraskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu disambung pada jam 7 pagi selepas ditangguhkan pada jam 7 malam semalam.
Katanya, operasi hari kedua membabitkan aset laut dan udara Maritim Malaysia, selain aset Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta dua bot nelayan tempatan.
Tambah beliau, sektor pencarian laut diperluas kepada 203.5 batu nautika persegi, manakala melalui udara meliputi kawasan seluas 764 batu nautika persegi.
“Maritim Malaysia terus menyelaraskan usaha pencarian bersama semua agensi terlibat bagi memastikan operasi dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan sehingga kesemua mangsa berjaya dikesan.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Maritim Malaysia Negeri Selangor di talian 013-660 6652 bagi membantu usaha pencarian dan menyelamat,” katanya.
Maritim Selangor mengaktifkan operasi sejak pagi semalam bagi mengesan tujuh pemancing termasuk tekong yang dilaporkan hilang di perairan One Fathom Bank, dekat Pulau Ketam, Klang.
Difahamkan, Maritim Selangor menerima maklumat kecemasan pada jam 3.35 pagi berhubung kehilangan kumpulan pemancing terbabit selepas mereka keluar dari Jeti Sementa, Klang. -MalaysiaGazette
















