Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berucap pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat Kali ke-67 di Grand Riverview Hotel, Kota Bharu, Kelantan. Foto AIZAT ZAINAL, 03 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Penyatuan ummah tidak seharusnya dilihat hanya dalam kerangka kerjasama antara Pas dan UMNO, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut beliau, jika gagasan itu hanya dihadkan kepada kerjasama dua parti tersebut, ia tanpa disedari mungkin meminggirkan kelompok lain yang turut mempunyai peranan dan pengaruh dalam masyarakat.

Disebabkan itu, ujarnya, muafakat tersebut perlu diperluas dengan penyatuan ummah mesti mampu merangkul pihak lain yang bersedia menerima asas dan matlamat perjuangan yang dipersetujui bersama.

“Pada masa yang sama, kita harus mengakui bahawa setiap parti mempunyai sejarah, pendekatan dan agenda politik masing-masing.

“Perbezaan ini tidak semestinya menjadi penghalang kepada penyatuan.

“Sebaliknya, ia perlu diurus dengan kebijaksanaan supaya perkara yang lebih besar dapat disepakati tanpa mana-mana pihak perlu kehilangan identiti masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Tuan Ibrahim, kerangka baharu itu juga mesti berani menangani persoalan besar yang sekian lama membelenggu negara.

Antaranya, kata beliau, termasuk politik perkauman yang melampau, kelemahan perpaduan nasional, rasuah dan salah guna kuasa, penguasaan kartel dan kelompok berkepentingan, keruntuhan moral dalam kalangan pemimpin, kehilangan jati diri serta titik-titik pertikaian yang terus menjejaskan hubungan antara kelompok masyarakat.

“Semua persoalan ini bukan mudah untuk diselesaikan. Namun, kita mempunyai tanggungjawab untuk tidak terus mewariskannya kepada generasi akan datang.

“Malaysia perlu bergerak ke hadapan dengan asas politik yang lebih stabil, berprinsip dan mempunyai hala tuju yang jelas,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, perlu diakui masih terdapat kebimbangan dalam kalangan sebahagian masyarakat terhadap gagasan politik berteraskan Islam.

Jelasnya, kebimbangan dan salah faham itu tidak boleh dijawab dengan slogan semata-mata, tetapi mesti diperbetulkan melalui penerangan, pendekatan dan teladan pemerintahan yang membuktikan bahawa keadilan Islam mampu melindungi hak seluruh rakyat.

“Di sinilah Pas dan UMNO, sebagai dua kekuatan utama politik Melayu-Islam, memikul tanggungjawab yang besar.

“Kedua-duanya perlu membantu membina keyakinan bahawa penyatuan ummah bukan agenda untuk menguasai atau menafikan hak pihak lain.

“Sebaliknya, ia bertujuan membentuk kekuatan politik yang mampu memimpin dengan adil, memperkukuh kestabilan negara dan menjamin kesejahteraan seluruh rakyat,” katanya.

Tambahnya, penyatuan yang mahu dibina juga bukan semata-mata untuk memenangkan Pas dan UMNO.

Ujarnya, kemenangan parti hanyalah wasilah, tetapi matlamat yang lebih besar ialah membina kekuatan politik yang mampu menyatukan rakyat, menegakkan keadilan dan menawarkan masa depan negara yang lebih baik.

“Penyatuan ummah tidak boleh berhenti pada penyatuan PAS dan UMNO.

“Kedua-duanya boleh menjadi paksi, tetapi kekuatannya hanya akan sempurna apabila muafakat diperluas, perbezaan diurus dengan hikmah dan seluruh kekuatan yang menerima asas perjuangan bersama dirangkul,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here