KUALA LUMPUR – Dokumen kenyataan saksi yang digunakan dalam perbicaraan Tan Sri Muhyiddin Yassin diperoleh secara sah dan bukan hasil kebocoran, tegas peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad.
Menurut beliau, dokumen itu diperoleh melalui saluran undang-undang biasa dan bukan dicuri, dibocorkan atau diperoleh secara sulit.
“Dokumen itu bukan dicuri, dibocorkan, diperoleh secara tidak sah atau melalui mana-mana cara sulit.
“Ia merupakan sebahagian daripada dokumen yang didedahkan oleh pihak pendakwaan sendiri mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah dalam prosiding berasingan kemudiannya berada dalam milikan pasukan guaman melalui urusan biasa dalam amalan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan yang direkodkan di bawah Seksyen 53(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 itu membabitkan seorang individu yang merupakan figura penting dalam perbicaraan Muhyiddin.
Individu berkenaan sebelum ini dijangka dipanggil sebagai saksi pendakwaan, namun pihak pendakwaan pada saat akhir memutuskan untuk tidak memanggilnya memberi keterangan.
Amer Hamzah turut mempersoalkan tindakan SPRM membuat laporan polis berhubung dokumen itu tanpa terlebih dahulu mendapatkan penjelasan daripada pihak pembelaan mengenai sumber dokumen berkenaan.
“SPRM tidak pernah menghubungi kami untuk mengetahui atau mengesahkan bagaimana dokumen itu diperoleh. Sebaliknya, laporan polis dibuat berdasarkan andaian sebelum fakta berkaitan asal usul dokumen itu dipastikan,” tegas beliau.
Menurut beliau, perkara lebih penting ialah kandungan kenyataan saksi berkenaan mengandungi fakta material yang berpotensi memihak kepada Muhyiddin dan mempunyai kaitan dengan isu yang sedang dibicarakan.
“Persoalan sama ada fakta itu relevan, boleh diterima sebagai keterangan, boleh dipercayai atau berapa berat yang patut diberikan kepadanya adalah untuk diputuskan mahkamah selepas mendengar semua pihak.
“Bukan menjadi bidang SPRM untuk menentukan keterangan yang boleh atau tidak boleh dikemukakan kepada mahkamah hanya kerana keterangan itu mungkin tidak memihak kepada kes pendakwaan,” katanya lagi.
Perkara itu turut dibangkitkan Amer Hamzah dalam prosiding kes Janawibawa di Mahkamah Tinggi hari ini apabila beliau memohon tindakan menghina mahkamah dikenakan terhadap pegawai penyiasat kes, Ketua Penolong Pesuruhjaya Mazery Mohd Zaini.
Amer Hamzah mendakwa laporan polis berkenaan, yang kemudiannya sampai kepada media, mencemar imejnya sebagai peguam yang mewakili Muhyiddin.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana laporan itu boleh dibuat oleh pegawai yang tidak berada di mahkamah ketika perkara berkenaan berlaku, termasuk bagaimana maklumat mengenai prosiding diperoleh.
Sementara itu, Mazery memohon maaf berhubung laporan polis tersebut dan menjelaskan tindakan itu dibuat kerana bimbang berlaku kebocoran dokumen dalam kalangan pegawai SPRM sendiri.
“Saya takut kebocoran dokumen itu melibatkan integriti pegawai SPRM sendiri dan tidak mahu dokumen penting dikeluarkan sewenang-wenangnya pada masa hadapan,” katanya di mahkamah.
Mazery turut menjelaskan kenyataan saksi Adam Radlan Adam Muhammad tidak mempunyai kaitan dengan siasatan kes Janawibawa dan laporan itu dibuat bagi menjaga imej jabatan.
Beliau juga menyatakan kesediaan untuk menarik balik laporan polis sekiranya siasatan mendapati tiada kebocoran berlaku.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pula menyifatkan dakwaan bahawa laporan polis itu merupakan bentuk intimidasi terhadap pembelaan sebagai keterlaluan.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin kemudian mengarahkan Mazery membuat semakan dengan pihak jabatannya bagi mengesahkan status laporan polis berkenaan.
Dalam kenyataan itu, Amer Hamzah turut menegaskan pihak pembelaan akan terus membawa bahan yang dianggap relevan dan boleh diterima mengikut proses undang-undang.
“Proses keadilan jenayah mesti membolehkan semua fakta material, sama ada memihak kepada pendakwaan atau pembelaan, dikemukakan kepada mahkamah tanpa intimidasi, sekatan atau rasa takut terhadap tindakan balas,” ujarnya. -MalaysiaGazette
Peguam Muhyiddin mohon pegawai SPRM dihukum kerana bocor dokumen
















