Penduduk digesa supaya bertenang dan segera menuju ke tempat selamat yang terdekat, sebaik-baiknya di dalam bangunan atau bilik bahagian dalam yang jauh dari tingkap, serta kekal di situ sehingga bahaya berlalu.
Pertahanan Awam turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan terbuka, tingkap, balkoni dan bumbung, manakala mereka yang berada di luar bangunan diminta masuk ke bangunan terdekat atau berlindung di sebalik penghadang kukuh.
Pemandu kenderaan yang menerima amaran diminta memberhentikan kenderaan di tempat yang jauh daripada jambatan dan bangunan tinggi, manakala orang ramai digesa mengelakkan perhimpunan serta kawasan berbahaya dan mengikuti arahan menerusi saluran rasmi.
Amaran itu dikeluarkan ketika pertempuran antara Arab Saudi dan kumpulan Houthi di Yaman semakin memuncak. Kumpulan berkenaan melancarkan beberapa serangan peluru berpandu dan dron ke atas bandar serta infrastruktur di Arab Saudi sejak beberapa hari kebelakangan ini. Tentera Arab Saudi pula bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas kedudukan Houthi di Yaman.
Bagaimanapun selepas setengah jam amaran tersebut dikeluarkan, Pertahanan Awam negara itu mengumumkan situasi kecemasan di Bandar Makkah telah berakhir dan ancaman juga berjaya ditangani.
Namun pihaknya menasihati semua penduduk untuk terus mematuhi garis panduan yang diberikan Pertahanan Awam, mengelakkan kawasan sesak serta tidak merekod atau memfilemkan sebarang situasi.
Mereka dinasihatkan untuk menghubungi 911 sekiranya berlaku kecemasan. -AGENSI