GEORGE TOWN – Kenaikan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), pegawai masjid dan siak di negeri ini disifatkan sebagai bukti usaha memperkukuh syiar Islam dilaksanakan menerusi tindakan dan peruntukan sebenar bukan sekadar slogan.
Ketua Wanita Keadilan Balik Pulau, Nurhidayah Che Rose berkata, pihaknya menyambut baik kenaikan elaun berkenaan yang akan berkuat kuasa mulai Oktober ini.
Kenaikan itu turut mencerminkan usaha menjaga kebajikan mereka yang berkhidmat dalam pendidikan Islam serta pengurusan masjid.
“Elaun guru Kafa dan ketua guru masing-masing dinaikkan sebanyak RM200 kepada RM1,700 dan RM1,800 sebulan.
“Ia merupakan kenaikan kali kedua sejak Julai 2025 yang memanfaatkan 1,650 guru di 208 premis Kafa dan 14 sekolah berkaitan KAFA yang mendidik kira-kira 60,000 murid,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Nurhidayah, kenaikan elaun itu turut membabitkan 1,364 pegawai masjid dan siak dengan tambahan peruntukan RM1.76 juta, menjadikan keseluruhan peruntukan sebanyak RM3.426 juta setahun.
“Kebajikan guru Kafa dan petugas masjid bukan sekadar disebut, tetapi dibela melalui peruntukan yang nyata. Syiar Islam tidak diperkukuh dengan retorik atau slogan semata-mata, tetapi melalui dasar yang menjaga kebajikan mereka yang berkhidmat untuk agama dan masyarakat.
“Justeru saya merakamkan penghargaan kepada Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid atas komitmen berterusan dalam memperkukuh pendidikan Islam serta menjaga kebajikan petugas masjid,” katanya.
Media semalam melaporkan, kerajaan Pulau Pinang menaikkan elaun guru Kafa sebanyak RM200 mulai Oktober ini, menjadikan elaun ketua guru Kafa dan guru biasa masing-masing RM1,800 dan RM1,700 sebulan.
Kenaikan kali kedua itu membabitkan tambahan peruntukan RM3.96 juta daripada sumber zakat, sekali gus menjadikan keseluruhan komitmen tahunan bagi elaun guru Kafa RM11.19 juta.
Dalam pengumuman sama, elaun imam, bilal dan siak lantikan kerajaan negeri turut dinaikkan bagi tempoh sama dengan tambahan peruntukan RM1.76 juta. – MalaysiaGazette
















