BUTTERWORTH – Seorang jurujual kereta yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan memperdaya pelanggan dengan mendakwa dia disamun, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pertuduhan terhadap Le Chong Seng, 43, ditarik balik.
Peguam yang mewakili tertuduh, C. Hari Prassaad Rao berkata, pihak pembelaan sebelum ini mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan selepas anak guamnya didakwa.
Katanya, representasi berkenaan mengandungi penjelasan mengenai kes pembelaan serta intipati pertuduhan terhadap anak guamnya.
“Selepas penelitian penuh terhadap representasi yang dikemukakan, pihak pendakwaan hari ini memaklumkan kepada mahkamah bahawa pertuduhan terhadap anak guam saya akan ditarik balik.
“Bagaimanapun, saya berhujah selaras dengan peruntukan undang-undang serta permohonan dan penjelasan yang dikemukakan dalam representasi, anak guam saya harus dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan ini.
“Mahkamah kemudian memutuskan bahawa tertuduh dilepaskan dan dibebaskan,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurfatin Fatini Shaiful Kamarul.
ARTIKEL BERKAITAN
Jurujual kereta didakwa rancang samun palsu untuk tipu pelanggan
https://malaysiagazette.com/2025/09/20/rancang-samun-diri-sendiri-tiga-lelaki-direman/
Media pada 23 September 2025 melaporkan Chong Seng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memperdaya pelanggannya, Teh Hock Kheng, 41, dengan mendakwa dirinya disamun sedangkan mengetahui tiada kejadian samun berlaku.
Mengikut pertuduhan, Chong Seng didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah pusat jualan kenderaan di Jalan Kampung Gajah, di sini, pada jam 3.27 petang, 17 September 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan Chong Seng diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.
Sebelum ini, polis menahan dua lelaki di Sungai Petani, Kedah yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun wang tunai lebih RM60,000 di Jalan Kampung Gajah.
Kedua-dua lelaki berkenaan, masing-masing bekerja sebagai pemandu lori dan pengawal keselamatan, dikatakan diupah RM3,000 untuk melakukan jenayah itu, namun tidak menerima bayaran yang dijanjikan. – MalaysiaGazette
















