KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan menghentikan serta-merta penggunaan kosmetik GB Daily Glow Skin Cream selepas produk berkenaan dikesan mengandungi racun berjadual merkuri.
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, susulan penemuan itu, notifikasi kosmetik berkenaan telah dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi dan produk tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Menurut NPRA, merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana bahan berkenaan boleh diserap ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang serta sistem saraf.
“Merkuri juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.
“Ia juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” menurut kenyataan KKM.
Sehubungan itu, penjual dan pengedar GB Daily Glow Skin Cream diarahkan menghentikan penjualan serta pengedaran produk tersebut dengan serta-merta.
KKM memaklumkan, penjualan dan pengedaran kosmetik berkenaan merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Bagi individu yang melakukan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan berikutnya, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.
KKM turut menasihatkan orang awam yang sedang menggunakan kosmetik tersebut supaya segera menghentikan penggunaannya.
Mereka yang mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers selepas menggunakan produk itu disarankan mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan.
Orang awam juga digalakkan menyemak status notifikasi sesuatu kosmetik serta senarai kosmetik yang telah dibatalkan melalui laman sesawang rasmi NPRA di [www.npra.gov.my](http://www.npra.gov.my). – MalaysiaGazette
















