KUALA LUMPUR – Lebih 80 pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGOs) sepakat menandatangani petisen menggesa Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak memperbaharui lesen operasi kilang Lynas di Kuantan, Pahang.
Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Tan Bun Teet berkata, pada masa sana NGOs itu juga mencabar mana-mana menteri yang mahu operasi Lynas diteruskan, menyimpan atau memenuhkan sisa toksik di belakang rumah mereka terlebih dahulu.
Katanya, selepas itu mereka boleh membawa sisa toksik Lynas berkenaan ke Putrajaya dan Langkawi untuk sama-sama berkongsi menghirup udara daripada pencemaran radioaktif itu.
“Lebih ramai lagi NGO di seluruh negara akan menandatangani petisen berkenaan dan kita akan serahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta semua Menteri Kabinet.
“Setakat ini mereka tidak faham apa yang dilalui oleh penduduk pelbagai peringkat umur di kawasan yang berhampiran dengan operasi Lynas ini. Sekarang kita mahu mereka juga turut merasai apa yang kita rasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media NGOs Katakan Tidak Kepada Lynas-Malaysia Mesti Membatalkan Lesen Lynas di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor di sini, hari ini.
Turut hadir, beberapa pengerusi dan wakil NGO dari Pahang, Kuantan dan seluruh negara.

Menurut Bun Teet, kerajaan Malaysia patut mengambil iktibar dengan penolakan kerajaan Australia menerima sisa radioaktif pada tahun 2011 kerana dibimbangi akan mencemari kawasan di Gunung Weld.
Sekarang, katanya, terdapat hampir setengah juta tan sisa Lynas yang ditinggalkan di kawasan penyimpanan berhampiran empangan.
“Kita khuatir kawasan penyimpanan itu akan berlaku kebocoran dan pencemaran itu akan melimpah ke empangan berkenaan, sekali gus menjejaskan keselamatan penduduk dan alam sekitar.
“Hasil kajian kita juga mendapati sisa toksik itu mengandungi radioaktif peringkat rendah yang jika terkena kepada manusia boleh menyebabkan penyakit kanser.
“Selain itu, terdapat juga beberapa logam berat toksik seperti uranium radioaktif, arsenik dan koktel bahan kimia dalam bahan pembuangan dari kilang Lynas itu,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan kenapa kerajaan tidak mengenakan cukai kepada syarikat yang bertanggungjawab mengeluarkan sisa pencemaran toksik dari kilang Lynas itu.
Sedangkan, rakyat Malaysia bekerja keras untuk membayar cukai kepada kerajaan.
“Sebagai rakyat, sudah tentu kami termasuk generasi baharu mengharapkan suasana hidup yang selamat dan masa depan yang bebas dari bahaya pencemaran bahan kimia.
“Bahkan, Kabinet sepatutnya mengambil perhatian bahawa kedudukan kewangan Lynas sentiasa tidak menentu walaupun untuk membayar gaji pekerjanya.
“Ini kerana kita difahamkan bauksit yang diperolehi dari galian itu tidak menghasilkan harga yang berpatutan di pasaran luar. Kenapa kerajaan perlu menjaganya lagi?” soal beliau. – MalaysiaGazette
















