Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyangkal tuduhan Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kononnya jika Pakatan Harapan (PH) masih memerintah sekarang – banyak nyawa rakyat terkorban berikutan wabak Covid-19.

Beliau yang membuat penafian itu pada sidang media di lobi Parlimen hari ini memberitahu, Mohamed Azmin ketika masih dalam PH sedia maklum yang beliau bersedia memberi kerjasama kepada barisan hadapan dalam memastikan dapat menjalankan tugas memerangi pandemik itu.

“Beliau (Azmin) sendiri bersama PH ketika itu dan beliau juga bersama saya dalam menghadapi pandemik Covid-19. Sebagai Menteri Kewangan, saya juga mengutamakan keselamatan rakyat.

“Jadi, saya beritahu kepada Kementerian Kesihatan (ketika era PH) yang saya sanggup berikan apa sahaja sumber yang diperlukan untuk pastikan petugas barisan hadapan menjalankan tugas sebaik mungkin,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian setelah Mohamed Azmin membuat kenyataan berbentuk tuduhan terhadapnya kononnya banyak nyawa rakyat akan melayang ketika wabak Covid-19 jika PH masih menjadi kerajaan kerana beliau enggan mengeluarkan peruntukan.

Guan Eng menyifatkan tuduhan Ahli Parlimen Gombak itu sebagai fitnah, melampau dan tidak berasas sama sekali kerana kerajaan PH sentiasa memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan.

Setiausaha Agung DAP itu kemudiannya meminta Mohamed Azmin mengemukakan bukti berhubung tuduhan itu bukan sekadar membuat tuduhan liar di luar Parlimen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast