KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang dijadualkan berlangsung pada 27 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ditangguhkan ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penangguhan PAU 2020 termasuk Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dibuat berikutan pandemik Covid-19.
“Adalah dimaklumlan bahawa Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO ditangguhkan kerana wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut beliau, mengikut Fasal 8.2 Perlembagaan UMNO, Perhimpunan Agung Tahunan hendaklah diadakan sekali dalam setahun pada bila-bila masa yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi dengan syarat tidak lewat daripada 18 bulan dari tarikh PAU yang lalu.
Katanya, Fasal 8.2 Perlembagaan itu dibaca bersama Perkara 5.4 Peraturan Persidangan, iaitu tarikh Perhimpunan Agung, tarikh Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan tempoh Persidangan Cawangan adalah ditentukan oleh Majlis Tertinggi.
“Tarikh PAU 2019 ialah pada 6 dan 7 Disember 2019, maka 18 bulan selepas itu ialah selewatnya pada 5 Jun 2021.
“Oleh itu, dipersetujui tarikh Mesyuarat Perwakilan Bahagian ialah pada Mac atau April 2021 dan PAU 2020 pada Mei atau awal Jun 2021.
“Bagaimanapun, tarikh yang tepat akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
Ahmad Maslan berkata, penangguhan itu melibatkan sekitar 764 persidangan iaitu empat mesyuarat perwakilan untuk setiap 191 UMNO Bahagian di seluruh negara.
Ujarnya, oleh kerana begitu banyak perhimpunan yang melibatkan puluhan ribu orang, keadaan itu kemungkinan berupaya untuk merebakkan wabak Covid-19.
Justeru, Jawatankuasa Pengurusan UMNO bersetuju sebulat suara mengenai keputusan itu dan telah mendapat persetujuan secara majoriti daripada Ahli-ahli MT melalui “circular resolution” atau pun resolusi secara edaran.
“AJK UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri di 191 bahagian adalah disarankan untuk mengadakan pelbagai aktiviti kebajikan prihatin rakyat dan ziarah kasih kepada yang memerlukan bantuan dalam kawasan masing-masing.
“Segala aktiviti mestilah mematuhi SOP Covid-19 yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















