KUALA LUMPUR – Pengumuman kerajaan menyambung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama empat minggu lagi sebagai pendekatan menangani penularan Covid-19 sangat dialu-alukan.
Malah pelaksanaannya seluruh negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan berkuat kuasa bermula 9 November hingga 6 Disember depan dianggap lebih tegas serta serius oleh kerajaan menangani Covid-19.
Namun pada masa sama, timbul juga persoalan mengenai bantuan oleh kerajaan bagi membantu rakyat untuk meneruskan kehidupan mereka selepas terjejas begitu teruk daripada segi ekonomi.
Sekurang-kurangnya 32 juta rakyat Malaysia akan terjejas pelaksanaan tersebut memberi impak besar dan berpanjangan kepada pelbagai sektor seperti pembangunan, ekonomi, perkhidmatan dan pendidikan.
Menurut Presiden Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM), Shanmugam Ramaih kepada MalaysiaGazette, pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini juga sebenarnya tidak begitu membantu rakyat di negara ini malah ramai melahirkan rasa kecewa mereka.
“Pandemik ini telah menyebabkan ramai yang menderita bukan hanya golongan tersasar sahaja tapi banyak peruntukan hanya untuk golongan tertentu dan bukannya secara keseluruhan.
“Semua sebenarnya terkesan, golongan miskin tegar, B40, M40, T20, tua, muda, pelajar, peniaga kecil dan ahli perniagaan. Semua sebenarnya. Ada banyak juga pengumuman yang di umum kerajaan tidak begitu menggembirakan mahupun memberikan kelegaan kepada ramai. Itu hakikat.
“Saya sendiri menerima banyak panggilan telefon, mesej dari pengadu dari pelbagai latar belakang. Sebagai contoh, isu pengeluaran KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang juga merupakan simpanan rakyat yang hanya untuk golongan tersasar.
“Bukan itu sahaja, pengeluaran juga bersyarat sehingga RM500 sebulan? Ramai sudah berkira-kira untuk mengeluarkan jumlah lebih banyak dari itu untuk melangsaikan hutang mahupun memulakan bisnes. Mana cukup RM500?
“Ketika ini kos sara hidup sudah naik, bayangkan apakah nilai RM500 itu dapat bantu? Barangan dapur sahaja sudah cecah beratus untuk tempoh seminggu. Apakah nilai ini dapat bantu langsaikan krisis lain? Bagaimana jika komitmen lebih tinggi?
“Selain KWSP, harapan tinggi seperti sambungan moratorium tanpa syarat juga tidak di sambung. Itu cukup membebankan sebenarnya. Jika hanya golongan tersasar yang lain juga sedang derita bukan? Apa pula nasib M40 yang tidak banyak di sentuh hari itu.
“Jika hendak disenaraikan memang banyak aduan umum sebenarnya, rakyat sedang menderita ketika ini,” katanya sebentar tadi.
Kata Shanmugam lagi, dengan PKPB kini terus disambung timbul pula persoalan apakah jenis bantuan akan di salurkan kerana banyak kekangan serta isu timbul kerana pelaksanaan ini.
”Ramai sudah mengeluh, takut bimbang terhadap penularan Covid-19 hilang sekejap timbul pula kebimbangan berkaitan ekonomi dan sara hidup pula dengan pengumuman ini.
“Mungkin sahaja timbul persoalan sebaliknya kami ingin mohon supaya kerajaan fikirkan cara untuk bantu semua, jika moratorium tidak dilaksanakan secara automatik untuk beberapa bulan lagi, ianya akan membantu. Minta tolong sangat-sangat,” ujarnya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin mendedahkan negara tidak boleh terus kekal dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) memandangkan jumlah jangkitan baharu COVID-19 terus mencatatkan peningkatan. -MalaysiaGazette

















Saya kehilangan pekerjaan dari bulan March hingga kini saya tdk bekerja, sumber ekonomi teruk sangat semenjak covid melanda.. Saya mahu mencari kerja teda satu pun majikan menerima pekerja buat masa ini… Bagaimana saya mahu menampung tanggungan anak istri dgn nilai bantuan RM500 sebulan?kalau yang masih bekerja tidak masalh dari segi kewangan. .tapi rakyat macam saya kehilangan pekerjaan disebabkan covid19 hingga kini bagaimana saya mahu mencari sumber rezeki untuk keluarga saya… Tolong lah rakyat yg macam kami kehilangan pekerjaan dari mula covid melanda hingga kini..