KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menyambut baik kebenaran kerajaan membolehkan waktu perniagaan di restoran, kedai dan kedai serbaneka dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam bermula esok.
Ia akan membantu sektor perniagaan untuk meraih pendapatan yang lebih, selain memudahkan pelanggan membeli makanan dan minuman.
Presiden PRESMA, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pengumuman itu adalah bonus kepada ahli persatuan di seluruh negara yang kini terkesan akibat penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Kata beliau, PRESMA meminta kerajaan memperhalusi semula peraturan mengehadkan jumlah penumpang mengikut kapasiti kenderaan berbanding hanya tiga orang ketika ini.
“Selain itu, PRESMA juga berharap kerajaan mempertimbangkan supaya membenarkan lebih dari dua pelanggan untuk berkongsi meja di premis atau restoran.
“Ini kerana, ramai di kalangan pelanggan adalah ahli keluarga yang datang bersama, namun terpaksa dipisahkan tempat duduk mengikut SOP ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengajak rakyat Malaysia sama-sama mendoakan agar negara ini segera pulih dari pandemik Covid-19 dan segala urusan kehidupan seharian dapat berjalan seperti biasa.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, semua kedai makan, kedai runcit, kedai serbaneka dan stesen minyak di kawasan PKPB dibenarkan beroperasi hingga jam 12 tengah malam, bermula esok.
Beliau berkata, ia susulan rungutan diterima daripada peniaga, persatuan peniaga dan orang ramai.
Katanya, keputusan dicapai dalam mesyuarat semalam, membenarkan waktu operasi perniagaan berkenaan hingga jam 10 malam yang ditetapkan sebelum ini, dilanjutkan kepada jam 12 tengah malam. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
PKPB: Perniagaan kini boleh beroperasi sehingga jam 12 malam
















