KUALA LUMPUR- Belum pun ditayangkan, animasi tempatan, Robozeta berjaya mencuri perhatian negara luar apabila dilamar oleh sebuah stesen televisyen antarabangsa.

Diproduksikan oleh syarikat Red Circle Studio Sdn Bhd bersama barisan pasukan animasi yang berbakat besar, peluang keemasan itu diraih mereka tatkala seluruh dunia masih kebimbangan berdepan pandemik Covid-19.

Pengarahnya, Muhammad Dzahiruddin Ahmad Zabidi berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian itu kerana Robozeta adalah sebuah siri baharu yang belum pernah diuji kehebatannya sebagaimana siri animasi popular lain seperti Ejen Ali, Upin & Ipin mahu pun BoBoiBoy.

“Sebuah syarikat penyiaran TV popular antarabangsa amat berminat untuk menjadikan Robozeta sebagai salah satu program siarannya. Bagaimanapun ketika ini kami masih terikat dengan kontrak bersama pihak Astro Ceria,” katanya.

Tambah Dzahiruddin lagi, pihaknya mengambil inisiatif  untuk menghubungi syarikat penyiaran dan stesen TV antarabangsa untuk menguji sejauh mana Robozeta mampu mengembangkan pengaruhnya sebagai program kanak-kanak yang relevan untuk tontonan dunia.

“Oleh kerana dunia dilanda penularan pandemik Covid-19 sejak awal tahun ini, Red Circle Studio tepanggil untuk mengintai peluang mendekati syarikat penyiaran dan pengedar program antarabangsa untuk melihat sejauh mana Robozeta mampu diterima negara luar.

“Dengan cara itu, secara tidak langsung mewujudkan hubungan dua hala yang boleh dimanfaatkan pada masa akan datang. Tambahan pula, ketika ini banyak kerja-kerja produksi tergendala akibat pandemik Covid-19 menyebabkan banyak stesen TV ketandusan bahan siaran kerana tiada program baharu.

“Syarikat penerbitan antarabangsa sememangnya mengalu-alukan kandungan progrom dari luar, bagi menampung kekosongan yang ada,” katanya lagi.

Kreatif…tunjang utama pasukan animasi Robozeta yang diketuai Muhammad DZahiruddin Ahmad Zabidi (tengah), Alif Iman (dari kiri) selaku Modeler dan Animator, Muhammad Azri Hariz (Animator), Mohd Hafiz Abd Samad (Compositor & Editor), Azizol Rahman (Renderer, Penulis skrip & Editor) dan Muhammad Azri Hamidon (Animator)

Bermula dari sebuah pertandingan, sekaligus muncul pemenang program IPCC 2016 MDEC, Red Circle Studio Sdn Bhd mengembangkan Robozeta daripada sebuah projek pilot sebelum mengorak langkah lebih berani menghasilkan siri animasi 13 episod.

Dengan peruntukan dana hampir setengah juta diperoleh dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), yang boleh dianggap agak kecil berbanding dana diterima produksi lain, Red Circle Studio Sdn Bhd, membuktikan mereka mampu menghasilkan karya setanding antarabangsa.

Percaya membina jenama yang kukuh di negara sendiri sentiasa menjadi keutamaan, Robozeta mengisahkan tentang lima adiwira iaitu Riko, Jango, Rexx, Bepop dan Ely.

Kelima-lima adiwira ini bersatu untuk mempertahankan Zenochip.

Kesemua 13 episod siri animasi ini sudahpun siap sepenuhnya dan hanya menantikan tayangan perdananya pada 19 Disember ini di Astro Ceria, pukul 4.30 petang.

Robozeta adalah sekumpulan adiwira cilik yang melindungi bandar Zetania dari ancaman musuh iaitu geng Kalabera yang berhasrat merampas sebuah chip dikenali sebagai ZenoChip iaitu sumber kuasa yang mampu memenuhi segala impian mereka.

“Kelima-lima adiwira ini mempunyai perwatakan yang berbeza. Riko misalnya merupakan kapten dalam pasukan ini memiliki sikap kepimpinan yang tinggi. Janggo pula adalah orang kanan kepada Riko yang sangat terkenal dengan kegarangannya, paling handal namum pendiam dan baik hati.

“Sesuai dengan namanya Bepop pula adalah seorang yang periang dan kelam kabut. Bepop adalah pencetus komedi dalam siri animasi ini. Sementara Rexx berbadan sasa, malangnya sedikit lembap akan tetapi kekuatannya terletak pada saiznya yang besar.

“Terakhir sekali adalah Ely, satu-satunya perempuan yang sering menjadi penasihat dan ‘penyejuk’ dalam pasukan ini setiap kali mereka berdepan masalah.

“Paling istimewa, apa yang membezakan Robozeta dengan adiwira yang pernah mencetuskan fenomena di Malaysia sebelum ini, selain kuasa dan kenderaan istimewa dimiliki kelima-lima adiwira tadi, mereka juga boleh bergabung menjadi sebuah mecha robot.

“Di mana idea ini belum pernah diguna pakai dalam penerbitan siri animasi di Malaysia. Kalau di Jepun dan Eropah, Mecha robot ni adalah sesuatu yang biasa tapi di Malaysia, Robozeta adalah yang pertama,” katanya terinspirasi daripada konsep Super Sentai yang popular sekitar 90-an.

Berdurasi selama 22 minit, Robozeta adalah siri animasi 3D berbahasa Melayu dan bergenre aksi komedi. Informasi mengenainya juga boleh didapatkan menerusi media sosial Robozeta di Facebook, Instagram dan YouTube. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast