Fadillah Yusof

PULAU PINANG – Kementerian Kerja Raya masih belum menerima laporan mengenai kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut atau jambatan ketiga meskipun Kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum ini berjanji menyerahkannya pada Jun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada Mac lalu berjanji berbuat demikian dalam permohonan kerajaan negeri untuk membina projek berkenaan.

Dalam pertemuan bersama barisan Exco, konsultan dan kontraktor itu juga, ujar beliau, kerajaan negeri turut memaklumkan kajian itu telah siap 80 peratus.

“Tetapi setakat ini, kita belum terima apa-apa kajian berhubung dua projek tersebut dan masih menuggu laporan itu dihantar.

“Jadi tidak wajar untuk kementerian dipersalahkan atas sebarang kelewatan membabitkan kedua-dua projek ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melawat projek menaik taraf jalan persekutuan dari Teluk Kumbar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas di sini hari ini.

Menurut Fadillah, Kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum ini menghantar surat permohonan kepada kementeriannya bagi pembinaan jambatan ketiga tanpa sebarang dokumen sokongan sekali gus terpaksa ditolak.

Ini kerana, menurut beliau, surat permohonan yang dihantar secara prinsip itu tidak menepati prosedur kerajaan khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jika mahu minta kelulusan perlu ada surat sokongan termasuk kajian menyeluruh membabitkan kesan aliran trafik serta impak sosial.

“Mana-mana projek di negeri lain sekali pun perlu ada dokumen-dokumen tersebut untuk dinilai secara terperinci sebelum diluluskan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast