JERTIH 7 Ogos – Kegembiraan kira-kira 60 penuntut dari 20 buah universiti di seluruh negara berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut selepas bot yang dinaiki dari Pulau Perhentian terbalik di muara Kuala Besut tengah hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu menyebabkan Nur Nasibah Husna Ibrahim, 21, yang dikatakan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) meninggal dunia di tempat kejadian kerana lemas.
Bagaimanapun 14 lagi pelajar yang menaiki bot tersebut selamat namun mengalami kecederaan dan kesemua mereka dirawat Klinik Kesihatan Kuala Besut dan Hospital Besut.

Ketua Polis Daerah,Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat lemas.
“Kejadian berlaku kira-kira lima kilometer dari jeti pelancongan Kuala Besut iaitu sekitar perairan Pulau Rhu, dekat sini.
“Berdasarkan laporan, kejadian berlaku apabila bot yang dinaiki dikatakan mengalami masalah enjin menyebabkannya berputar dan terbalik, sekali gus mengakibatkan semua penumpang terjatuh ke dalam laut,” katanya di sini hari ini.
Kesemua pelajar tersebut dipercayai bertolak dari Pulau Perhentian pada pukul 11.30 pagi. – MalaysiaGazette
















