AYER KEROH – Parti teras masih relevan dan boleh menstabilkan politik di negara ini,
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketiadaan parti teras akan menyebabkan ketidaksetiaan kepada parti dan berlaku lompat melompat sehingga sukar dikawal.
Malah katanya, ketiadaan parti teras akan berlakunya tawar-menawar, tolak ansur sehingga perkara yang sangat penting berasaskan perjuangan pada parti tidak boleh dilaksanakan atas sebab tiada parti teras.
“Atas sebab itulah UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu bertanding lebih daripada 14 atau 15 kerusi supaya boleh menjadi parti teras.
“Tiada parti teras tiada kestabilan, ini rakyat Melaka kena tentukan, kalau ikutkan UMNO kalah PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14), tetapi tidak mati, jadi pilihlah UMNO,” katanya menerusi wawancara ‘Gegau Melaka’ yang disiarkan di Facebook BN COMMS malam tadi.
Beliau mengulas dakwaan kononya Barisan Nasional (BN) cuba menjadi ‘abang besar’ pada PRN Melaka sehingga membuat keputusan bertanding bersendirian dalam PRN kali ini.
Menjelaskan mengenai perkara itu, Mohamed Khaled berkata, tindakan BN bertanding bersendirian bukan hendak menjadi ‘abang besar’ sebaliknya, mahu mengembalikan politik dan kerajaan negeri Melaka khususnya dan negara secara amnya melalui pendekatan parti politik teras.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, BN menggunakan pendekatan ‘3K’ dalam usaha memberi kepercayaan kepada calon muda iaitu ‘kualiti’, ‘kepelbagaian dan kemajmukan’ serta ‘kerja keras’.
Katanya, bagi BN, kualiti tiada kompromi dan dengan meletakkan calon berkualiti juga ia dapat memenuhi hasrat pengundi.
“Bagi kepelbagaian dan kemajmukan, kita tawarkan kepelbagaian dari segi kaum, usia dan latar belakang, manakala dan sifir ‘kerja keras’ penting bagi memastikan calon sentiasa sedia berkhidmat kepada masyarakat, walaupun kalah tapi UMNO tetap jalan,” ujarnya.
Mohamed Khaled berkata, semua calon perlu berpaksi kepada matlamat kewujudan UMNO iaitu didahului dengan amal bakti dan kedua baharulah politik.
“Kalau tidak berpegang pada matlamat, kalau UMNO kalah dah lama habis tapi UMNO masih kekal kerana semua ahli dilatih sedar keadaan masyarakat dan fikir bagaimana nak selesaikan masalah rakyat,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















