GEORGE TOWN – Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri di bawah pimpinan DAP membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pemilihan dilakukan serentak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Pengerusi BN negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pembubaran serentak itu menjimatkan perbelanjaan daripada menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Dalam keadaan ekonomi baru sedang merancak naik, kita rasa baik DUN dibubarkan serentak agar tiada kos tambahan yang perlu ditanggung kerajaan bagi melaksanakan PRN.
“Bagaimanapun, sekiranya kerajaan negeri masih enggan membubarkan DUN ia secara langsung mereka menunjukkan kuasa dalam pemerintahan negeri.
“Sejak awal lagi mereka (kerajaan Pakatan Harapan) tak setuju pembubaran Parlimen jadi mereka guna kuasa yang ada di negeri untuk menunjukkan tentangan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengumuman khas itu disiarkan secara langsung menerusi beberapa televisyen tempatan pada 3 petang tadi, selepas memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau turut mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor mengambil tindakan sewajarnya, bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum Peringkat Parlimen, meskipun beberapa negeri sudah telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing. – MalaysiaGazette















