PUTRAJAYA – Penubuhan sebuah jawatankuasa khas berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah tidak diperlukan, kata Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Ahmad Fahmi Fadzil.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, ini kerana proses mendapatkan semula dana tersebut sedang dilakukan agensi-agensi terlibat.
Bagaimanapun, Ahmad Fahmi berkata, penubuhannya boleh diteliti sekiranya ia merupakan satu mekanisme penting untuk mempercepatkan proses mengembalikan dana itu.
“Pada ketika ini, perkara itu (penubuhan) tidak dibincangkan di mesyuarat Jemaah Menteri dan proses untuk mendapatkan semula dana itu sedang berjalan selain ada beberapa perkara dikenal pasti segera dalam usaha mengembalikan wang rakyat.
“Proses (pengembalian dana) itu boleh dilihat apabila kerajaan sudah pun berjaya mendapat persetujuan pengembalian lebih RM8.1 bilion daripada syarikat International Petroleum Investment Company (Ipic) dan Aabar Investments PJS, sekali gus merupakan satu kemenangan untuk rakyat,” katanya pada sidang akhbar pasca Mesyuarat Kabinet di KKD hari ini.
Tambah Ahmad Fahmi, penubuhan jawatankuasa itu masih boleh dibincangkan secara khusus dengan tidak menolak kemungkinan ia akan dibawa ke perhatian perdana menteri.
“Semestinya kita nak lihat di mana lagi pihak-pihak yang terkait dengan isu 1MDB ini sekiranya perlu mereka mengembalikan wang tersebut dan jika mekanismenya untuk mempercepatkan proses itu kita perlu wujudkan satu jawatankuasa khas yang khusus, maka saya percaya akan diteliti,” ujar beliau.
Ahmad Fahmi sebelum ini mengulas mengenai cadangan penubuhan satu jawatankuasa khas berhubung skandal 1MDB membabitkan bank Goldman Sachs akan dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
Isu ini dicetuskan oleh Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menggesa agar kerajaan meneliti kembali peranan peguam yang mewakili 1MDB kerana tidak memfailkan saman kepada bank pelaburan Amerika Syarikat, Goldman Sachs.- MalaysiaGazette
Johari mahu kerajaan siasat peguam, individu berunding dengan Goldman Sachs















