Arthur Joseph Kurup

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi memantapkan lagi penyelarasan pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negara ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, perkara itu sedang diteliti Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Usaha mempromosikan STEM di kalangan pelajar diteruskan dengan pelaksanaan National Science Challenge (NSC).

“NSC adalah pertandingan sains kebangsaan bagi pelajar tingkatan 1 hingga 4 (13 hingga 16 tahun).

“Matlamat NSC adalah bagi memupuk minat, mewujudkan kesedaran, sekaligus menyemai semangat pelajar untuk melanjutkan pelajaran dan kerjaya dalam STEM,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Wira Dr Hatta Md Ramli yang minta MOSTI menyatakan pendekatan untuk merancakkan lagi minat pelajar sekolah dalam STEM.

Mengulas lanjut, Arthur berkata, melalui NSC, pelajar boleh menyediakan penyelesaian praktikal kepada pelbagai isu dengan menggunapakai ilmu yang mereka pelajari serta dengan cara kreatif.

Katanya, pada 2022, NSC merekodkan penglibatan sejumlah 11,685 pelajar daripada 412 sekolah dengan 70 buah sekolah adalah daripada luar bandar.

Dalam pada itu, beliau berkata, MOSTI turut menggerakkan inisiatif Ruang Daya Cipta (RDC) di daerah terpilih seluruh negara yang sehingga kini telah menjangkau 15,000 penduduk luar bandar.

Ujarnya, RDC dibangunkan untuk memberi peluang dan pendedahan kepada golongan komuniti terutamanya dari kalangan pelajar, belia, usahawan PKS dan orang awam di luar bandar untuk memperolehi ilmu pengetahuan serta menggunakan peralatan teknologi berasaskan elemen Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).

“RDC dilengkapi dengan kemudahan seperti makmal reka bentuk, makmal komputer, sudut inovasi, studio digital dan ruang latihan yang boleh digunakan secara percuma.

“Sehingga kini sebanyak 10 buah RDC telah dibangunkan, manakala pada tahun 2023 MOSTI mensasarkan sebanyak 10 buah RDC lagi akan dibangunkan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast