Azmi Hassan

SHAH ALAM – Tindakan pembangkang memainkan isu melibatkan pelaburan dari China ke Malaysia kerana ia sasaran mudah untuk mereka memanipulasi rakyat bagi menentang kerajaan, kata penganalisis profesional dan pemerhati politik.

Seorang geostrategis dari Perdana School UTM, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, memandangkan China menumpukan pelaburan ke Malaysia, ia menjadi sasaran mudah kumpulan pembangkang yang menjadikan negara itu sebagai kambing hitam dengan menuduh penjajahan ekonomi sedang berlaku di negara kita.

“Yang paling ketara adalah Malaysia yang menjadi tumpuan China, sebab itu saya melihat China itu menjadi kambing hitam kerana mereka mengatakan China ini menjajah melalui sumber ekonomi, faktor ekonomi,” kata beliau semasa forum ‘Pelaburan China Di Malaysia: Apa Isu Sebenarnya?’ anjuran AgendaDaily malam ini.

Jelas beliau, tindakan menjadikan China sebagai kambing hitam sebenarnya merupakan satu percaturan politik oleh pihak yang menentang kerajaan, strategi sama digunakan semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang mana Amerika Syarikat dijadikan kambing hitam.

“Apa isu sebenarnya, mengapa China dikambing hitamkan, sebab ini adalah percaturan politik, permainan persepsi.

“Kalau kita ungkit kembali semasa PRU13, isu China langsung tidak timbul, kambing hitam pada ketika itu adalah Amerika Syarikat tapi selepas Amerika baharu pada 2016 China dijadikan kambing hitam pula,” katanya.

Menurut beliau, isu pelaburan dengan China tidak wajar dijadikan polemik memandangkan kedua-dua negara merupakan rakan dagang yang lama.

“Malaysia dan China sebenarnya dah lama jadi rakan dagang, jadi kenapa baru-baru ini (isu) timbul pada 2016 bahawa ada masalah dengan China dan mereka menjadi sasaran mudah boleh dimanipulasi.

“Kalau kita ikut daripada 2013, pertumbuhan pelaburan asing yang paling banyak sehingga sekarang bukan China, China nombor empat, yang pertama adalah Amerika, pertumbuhan 100 peratus hingga sekarang, tapi kenapa orang tidak sebut Amerika? Sebab Amerika tidak boleh jadi kambing hitam sekarang, China itu lebih mudah,” ujarnya.

Exco Pemuda UMNO, Shahril Hamdan bercakap pada Forum Pelaburan China di Malaysia, Apa Isu Sebenarnya di Universiti Teknologi Mara Kampus Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 24 JANUARI 2018

Sementara itu, Exco Pemuda UMNO, Shahril Hamdan turut senada dengan Azmi yang menyangkal tuduhan pembangkang kononnya kerajaan sedang menjual negara walhal China bukan pelabur utama dengan Malaysia yang hanya berada pada tangga keempat pelaburan terus asing (FDI).

“Jumlah pelaburan FDI dari China RM15 bilion, sementara jumlah stok FDI dari seluruh semua adalah RM558 bilion, maknanya tidak sampai 3 peratus jumlah pelaburan dari China berbanding daripada sumber-sumber lain

“Data terbaharu pada 2016, jumlah aliran FDI dari China dalam RM5.9 bilion, Singapura lebih tinggi RM7 bilion, tapi tidak pula kita kata jual negara kepada Singapura, tidak ada pula kita kata jual negara kepada Amerika Syarikat,” katanya.

Shahril juga tidak menolak tindakan menjadikan China sebagai kambing hitam kerana pembangkang sengaja mahu memainkan sentimen perkauman untuk menakutkan rakyat di Malaysia khususnya.

“Maknanya ini, ada sindrom mengkambing hitam negara China ini atas faktor politik kerana mungkin mereka sengaja, nak memainkan sentimen perkauman, kononnya kalau negara China jadi isu, kalau negara Arab tidak jadi isu.

“Saudi Aramco meletakkan pelaburan cukup besar di Pengerang tidak pun ada orang kata tidak ada syarikat Bumiputera tidak dapat kerja, bermakna ada sengaja sentimen perkauman mereka mainkan, kononnya pakatan pembangkang ini lebih terbuka lebih liberal lebih progresif tapi sebenarnya adalah lebih kepada politik,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast