Rosni Sohar

Selesai polemik secara berhemah.

Itu nasihat Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar kepada Tunku Abdul Aziz Ibrahim dan Datuk Seri FD Iskandar Mohamed Mansor.

Menurutnya, polemik yang berlaku antara kedua-dua mereka perlu diselesaikan demi kebaikan bersama.

“Saya berpendapat kerana perkara ini membabitkan Media Prima sebagai organisasi media yang menyokong kerajaan Barisan Nasional dan seorang tokoh politik yang berpengalaman, maka eloklah kedua-dua pihak diberi ruang untuk berbincang,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada krisis yang berlaku antara Pengerusi Panel Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia dengan Pengerusi Media Prima itu baru-baru ini.

Rosni juga berharap agar FD Iskandar dapat membuat penjelasan dan jika dakwaan Tunku Aziz tidak benar, penafian hendaklah dibuat ke atas semua dakwaan tersebut.

“Saya turut menggesa pertikaian dapat diselesaikan dengan baik dan secepat mungkin demi menjaga imej organisasi yang terlibat yang dipimpin oleh kedua-dua tokoh ini,” katanya lagi.

Polemik berlaku antara kedua-dua mereka berhubung dakwaan penurunan penarafan TV3 yang telah berlanjutan dari November yang lalu. –MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2016/12/20/saman-saya-atau-letak-jawatan-tunku-aziz/