Narayan Singh, mencurigai kelakuan isterinya Sarita, 28, sebelum membunuh dan memenggal kepalanya dan berjalan sejauh 8 kilometer dalam kejadian di Madhya Pradesh semalam.

MADHYA PRADESH – Seorang petani di India membunuh isterinya dan membawa kepala yang dipenggal sejauh lapan kilometer telah mengejutkan masyarakat setempat.

Narayan Singh, 38, telah didakwa polis membunuh isterinya Sarita, 28, menggunakan pedang di tengah sebuah padang kawasan perumahannya.

Saksi kejadian menjelaskan mereka terkejut melihat Narayan berjalan dengan kepala isterinya yang dipenggal sehingga ke balai polis.

Suspek memberi alasan kepada polis semasa menyerah diri kononnya; “Isteri saya telah tidak setia lagi kerana mengadakan hubungan sulit dengan lelaki lain.

“Itulah sebab kenapa saya memenggal kepalanya,saya telah memberi amaran kepadanya beberapa kali tetapi dia tidak mempedulikan arahan saya,” dakwa suspek sebelum ditahan polis.

Narayan berasal dari kampung Ingoria, India akan didakwa di mahkamah akhir Februari ini atas kesalahan membunuh isterinya.

Saksi juga mendakwa Narayan mencekup isterinya ketika bersama dengan kekasihnya beberapa kali dan memaafkan mereka dengan amaran akan diambil tindakan jika mengulangi perbuatannya.

Jiran suspek berkata, Narayan Singh mula membalas dendam isterinya selepas mengintip isterinya selama beberapa hari.

Pada 30 Januari lalu, dia menangkap isterinya bersama kekasih di pondok ladang dan menyerang mereka.

Singh kini direman polis sebelum dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh 14 hari lagi.

Pegawai penyiasat kes berkenaan, Vijay Khatri berkata Narayan Singh mencurigai karakter isterinya bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

“Pada 30 Januari lalu, dia menangkap isterinya ketika bersama kekasihnya sebelum membunuh dan memenggal kepala isterinya itu.

“Dia terus mengamuk di sepanjang jalan dengan memegang kepala isterinya itu telah mengejutkan penduduk kampung itu,” ujarnya.

Keganasan ke atas wanita dikatakan menjadi epidemik di India yang mana kerajaan digesa melaksanakan hukuman berat terhadap pelaku.

Menurut Biro Rekod Jenayah kerajaan India, sebanyak 309,546 perlakuan jenayah ke atas wanita dilaporkan pada tahun 2013.

Ia termasuk 33,707 kes rogol dan 51,881 kes penculikan. – MalaysiaGazette