KUALA LUMPUR – Tidak tahu malu adalah frasa yang paling tepat yang boleh saya berikan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ternyata Azmin sudah ketandusan idea apabila beliau secara terang-terangan meniru inisiatif yang telah dibentangkan dalam Bajet Johor 2018 tempoh hari.

“Persoalannya kini, siapa tiru siapa?” soal Dhia Hani dari Persatuan Pemikir Muda Johor dalam satu kenyataannya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Terbaru, katanya, Azmin telah memperkenalkan Skim Peduli Sihat Penjawat Awam Selangor. Di mana skim ini mempunyai konsep yang sama dengan Skim Perlindungan Takaful Penjawat Awam yang telah diperkenalkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Malah, tidak keterlaluan jika saya menyifatkan Azmin ini seorang yang tidak mempunyai pendirian yang tersendiri.

Lihat sahaja, dulu beliau (Azmin) dengan angkuhnya memburuk-burukkan corak kepimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled tetapi hari ini sebaliknya yang terjadi, beliau tanpa segan silu menciplak idea Mohamed Khaled, dakwa Dhia.

“Secara tidak langsung juga ia menampakkan dengan jelas bahawa Azmin mencemburui corak kepimpinan Mohamed Khaled yang berjaya membawa satu perubahan baharu terhadap Negeri Johor,” ujarnya.

Dalam masa yang sama juga, Azmin juga dalam diam sebenarnya mengagumi segala idea bernas yang dikemukakan oleh Mohamed Khaled.

Bagaimanapun, kata Dhia, Skim Perlindungan Takaful Penjawat Awam jauh lebih baik dari Skim Peduli Sihat Penjawat Awam Selangor.

Hal ini kerana skim itu berfungsi untuk memberikan manfaat kepada penjawat awam menikmati perkhidmatan rawatan hospital pakar KPJ sedangkan Skim Peduli Sihat hanya menyediakan perkhidmatan rawatan di klinik-klinik sahaja.

Tambahan lagi, Skim Perlindungan Takaful memberi pelbagai faedah besar kepada penerima. Antaranya, bayaran pampasan kematian atau kemalangan berjumlah RM20,000, khairat kematian berjumlah RM1,000 kepada ahli, RM1,000 kepada pasangan dan RM500 kepada anak dengan had maksimum kepada tiga orang anak serta pelbagai lagi faedah yang menarik boleh diperoleh oleh penerima, katanya.

“Jadi saya yakin bahawa Skim Peduli Sihat tidak menawarkan faedah yang menarik seperti itu.

“Malah, skim tersebut juga tidak mampu bersaing dengan Skim Perlindungan Takaful yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri,” ujar Dhia.

Lebih penting lagi, katanya, Skim Perlindungan Takaful dilihat lebih rasional dan benar-benar menjaga kepentingan serta kebajikan penjawat awam di negeri Johor.-MalaysiaGazette