Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Dr Mohd Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis menyindir pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang mula lupa diri selepas memenangi pilihan raya yang lalu.

Melalui posting di Facebook, Prof. Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin membidas perilaku mereka yang ponteng daripada menghadiri Sidang Dewan Rakyat.

Dalam kritikan terbuka itu, beliau turut menyifatkan pemimpin Pakatan Harapan mengikut perangai pihak lawan yang dulunya dikecam mereka.

“Apabila menang, perasaan dah senang. Apabila dah rasa senang, dewan pun tak datang. Maka, segala pekikan sebelum ini, sudah tidak kedengaran. Segala sembang semalam, hanya tinggal kenangan. Segala perangai lawan dulu yang dihentam, hari ini dijadikan ikutan,” katanya.

Selasa lalu, sidang Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan kerana tidak cukup korum menyebabkan ia menjadi isu hangat diperkatakan.

Minggu ini merupakan minggu kedua Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14.

Keadaan itu menyebabkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengarahkan persidangan itu ditangguhkan dua minit sehingga korum mencukupi untuk meneruskan sidang sesi petang.

Mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 13(1), cukup bilang (kuorum) bagi Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa sebuah Majlis Mesyuarat hendaklah mengandungi 26 orang ahli yang tidak termasuk pengerusi. – MalaysiaGazette