Bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah hadir pada persidangan Dewan Rakyat Parlimen di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 15 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah berkata matlamat beliau untuk melihat Datuk Seri Anwar kembali ke Dewan Rakyat tercapai kini.

Menurut beliau, hatinya bercampur baur apabila menyaksikan Anwar mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson yang baharu.

“Saya rasa sukacita tapi sedih sebab saya ada ramai kawan dalam Parlimen, ia perasaan bercampur baur.

“Yang lain okay, ini kerana saya nak Anwar berada di Parlimen dan laksanakan manifesto PH.

“Dia akan menjalankan tugas dengan baik,” katanya ditemui di perkarangan Dewan Rakyat.

Danyal antara tetamu khas Anwar yang datang menyaksikan Ketua Umum PKR itu mengangkat sumpah pagi ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabtu lalu mengumumkan Anwar menang dengan majoriti 23,560 undi.

Beliau mendapat 31,016 undi, diikuti calon Pas, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar yang mendapat 7,456 undi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang bertanding atas tiket Bebas pula memperoleh 4,230 undi manakala bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan (82).

Calon Bebas lain, Stevie Chan mendapat 337 undi, Lau Seck Yan (214), Kan Chee Yuen (154). -MalaysiaGazette