gambar hiasan
gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan untuk mengenakan duti eksais ke atas minuman bergula mulai 1 April, 2019 terlalu awal dan perlu dilakukan secara berperingkat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Fraser and Neave Holdings Bhd (F&N), Lim Yew Hoe.

Beliau berkata, ini disebabkan kesukaran untuk mencari alternatif kepada gula.

“Kami boleh menggunakan stevia, tetapi ia akan menjejaskan rasa, kerana anda akan rasa pahit, manakala gula semula jadi memerlukan kos yang tinggi,” katanya pada taklimat media mengenai keputusan kewangan kumpulan itu bagi tahun kewangan 2018 berakhir 30 Sept, 2018, di sini hari ini.

Dalam pengumuman Belanjawan 2019 pada 2 Nov, duti eksais mulai pada kadar 40 sen per liter akan dikenakan ke atas minuman yang mengandungi gula atau pemanis berasaskan gula melebihi lima gram per 100 ml, selain jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi gula melebihi 12 gram bagi setiap 100 ml.

Lim berkata setakat ini, 90 peratus daripada campuran produk kumpulan itu termasuk dalam kategori yang boleh dikenakan cukai.

“Kami telah melabur dengan melakukan banyak usaha dan menggunakan sumber untuk menggalakkan pilihan yang lebih sihat melalui rumusan semula produk sedia ada, selain melakukan inovasi untuk memperkenalkan pilihan yang lebih sihat.

“Kami menyokong usaha kerajaan dalam menggalakkan gaya hidup yang sihat, bagaimanapun tempoh lima bulan sebelum pelaksanaan cukai tidak mencukupi,” katanya.

Lim berkata selama beberapa tahun, kumpulan telah mengambil langkah untuk mengurangkan jumlah gula dalam portfolio minumannya.

“Sehubungan itu, indeks gula (jumlah gula dalam gram setiap mililiter minuman) berkurangan sebanyak 34 peratus sejak 2004,” katanya.

Keuntungan bersih F&N bagi tahun kewangan 2018 naik kepada RM385.13 juta berbanding RM323.37 juta pada tahun sebelumnya, manakala perolehan meningkat kepada RM4.11 bilion berbanding RM4.10 bilion, sebelum ini, susulan jualan eksport yang lebih tinggi dan promosi perayaan yang berkesan.  – MalaysiaGazette