Reaksi bersahaja Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu bergambar kenangan dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk Darell Leiking (empat kiri) dan para pemenang anugerah pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri 2018 di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa syarikat-syarikat agar melabur dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan inovasi dan mengenal pasti produk serta perkhidmatan nilai tambah baharu yang tinggi.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata, majikan perlu meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan teknologi terkini.

Jelas beliau, usaha bersama ini penting untuk meningkatkan prestasi produktiviti buruh agar dapat menjadi negara maju dan inklusif.

“Kita perlu melepaskan diri daripada amalan biasa dan sebaliknya, menetapkan negara pada pertumbuhan yang pantas.

“Kerajaan mengiktiraf kepentingan digitisasi yang merupakan pemacu penting inovasi, daya saing dan pertumbuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2018 di Grand Hyatt di sini malam ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

M ahathir menambah, trend digital baharu seperti pengkomputeran awan, perkhidmatan web mudah alih, grid pintar dan media sosial secara radikal mengubah landskap perniagaan dan membentuk sikap kerja.

Menurutnya, trend ini mendorong inovasi dalam model perniagaan, pemindahan pengetahuan dan akses ke pasaran antarabangsa.

“Sehingga Mac 2019, sejumlah 4.3 bilion orang dihubungkan ke internet dan menjelang 2022, angka ini dijangka meningkat dengan ketara kepada 4.8 bilion.

“Perniagaan yang tidak memanfaatkan penemuan teknologi akan kehilangan peluang pertumbuhan, produktiviti jualan dan penciptaan kekayaan untuk diri mereka sendiri dan ekonomi secara amnya.

“Dengan mengambil kira keperluan untuk menggunakan teknologi maklumat dan internet bagi membuka rantaian bekalan pasaran, kerajaan melancarkan Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 yang dikenali sebagai Industry4WRD pada Oktober 2018.

“Dasar ini menggalakkan penggunaan teknologi yang lebih besar untuk mencapai kecekapan, kelajuan dan fleksibiliti ke arah mengekalkan daya saing.

“Malaysia akan menjadi destinasi utama bagi industri berteknologi tinggi dan penyedia penyelesaian menyeluruh bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan di rantau ini,” katanya.

Sementara itu pada majlis tersebut, KPJ Ipoh Specialist Hospital menerima Anugerah Perdana Menteri yang membawa pulang wang tunai RM500,00.

Bagi kategori Terbuka pula dimenangi oleh STMicroelectronic Sdn. Bhd..

Pemenang lain bagi Kategori Pengilangan adalah Ideal Healthcare Sdn. Bhd., Indkom Engineering Sdn. Bhd., ExcelVite Sdn. Bhd.

Bagi Kategori Perkhidmatan, ia menjadi milik Cita Information Systems Sdn. Bhd., Amalgamated Plant Engineering Sdn. Bhd. dan juga KPJ Ipoh Specialist Hospital. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan