Nasrul Ali Hassan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Wira Putra mengecam dengan keras tindakan kepimpinan Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan untuk membawa Sarawak keluar daripada Persekutuan Malaysia.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, tindakan PBK dilihat untuk mencari publisiti dan sokongan dengan cara amat berbahaya kepada keselamatan negara serta politik murahan yang tidak bermoral.

“Ia adalah satu hasutan yang boleh memecahbelahkan rakyat pribumi yang telah hidup secara harmoni selama ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga menyifatkan tindakan itu sebagai satu penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan negara.

“Ini perbuatan menderhaka yang mengancam keselamatan negara. Kenyataan biadab ini adalah satu sikap tidak patriotik kepada negara dan amat berbahaya kerana kesannya mengancam keharmonian negara.

“Pihak keselamatan khususnya polis hendaklah segera mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada sebelum nasi menjadi bubur,” katanya.

Katanya, pemimpin parti tersebut tidak wajar mencari jalan pintas bagi mendapat sokongan dan kemenangan dengan cara memainkan isu-isu sensitif yang amat berbahaya.

“Siasatan dan tindakan segera pihak keselamatan hendaklah menyeluruh kerana ada kemungkinan terdapat anasir luar memainkan peranan dari belakang secara halus,” katanya.

Katanya lagi, tuduhan serta alasan bahawa kepimpinan dari Semenanjung Malaysia cuba mendominasi Sarawak adalah tuduhan liar dan tidak wajar kerana sehingga kini negeri itu masih melaksanakan sistem pentadbiran dan perundangannya sendiri.

“Negeri di Borneo sehingga kini masih menikmati keistimewaan seperti yang telah termeterai dalam MA63. Usaha untuk penambahbaikan MA63 sedang diusaha dan pasti akan berhasil jika semua pihak ada sifat toleransi dan semangat patriotisme,” katanya.

Dalam pada itu, Wira Putra turut meragui terhadap mereka yang lantang mahu Sarawak dikeluarkan dari Persekutuan Malaysia adalah benar-benar anak jati yang tidak bercampur keturunan dengan bukan pribumi.

“Ini kerana kenyataan presidennya yang mengatakan satu kesilapan besar Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia pada 1963 seperti menghina para pejuang anak jati negeri Sarawak terdahulu yang bermati-matian demi memperoleh kemerdekaan.

“Wira Putra menjunjung tinggi kedaulatan negeri-negeri di dalam Persekutuan Malaysia termasuk Borneo dan ia tidak sepatutnya dicemari oleh gerakan-gerakan yang mengarah kepada hasutan dengan agenda sekadar untuk memenangi Pilihanraya Negeri Sarawak yang akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette