Amirudin Shari
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. foto AFFAN FAUZI, 27 APRIL 2019

SHAH ALAM – PKR Selangor hari ini menegaskan tidak perlu menandatangi petisyen bagi menunjukkan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku presiden parti itu.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor yang juga Menteri Besar, Amirudin Shari berkata ini kerana sokongan terhadap Anwar tidak pernah dicabar oleh mana-mana barisan kepimpinan mahupun anggota parti.

“Jawatan presiden sebelum ini juga tidak pernah dicabar oleh sesiapa dan sehingga hari ini kedudukan Datuk Seri Anwar selaku presiden parti juga tidak pernah dipertikaikan.

“Jadi saya tidak nampak apa kewajaran nak sign (tanda tangan petisyen) tanda sokongan terhadap beliau, tetapi tak apa lah, kalau semua sokong kita sokong tak jadi masalah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di sini.

Amirudin diminta mengulas tindakan beberapa negeri termasuk Pahang, Perak, Johor dan Pulau Pinang yang menandatangi petisyen bagi menyokong kepimpinan Anwar sebagai presiden PKR, baru-baru ini.

Katanya, PKR Selangor sehingga kini berpendirian untuk menyokong kesemua barisan kepimpinan parti yang telah dipilih sebelum ini.- BERNAMA