Amirudin Shari

SHAH ALAM – Wakil rakyat beragama Islam di Selangor yang diketuai Menteri Besar, Amirudin Shari dilaporkan mahu mencantas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Ng Suee Lim melalui undi tidak percaya.

Sinchew Daily melaporkan, keadaan itu timbul kerana Suee Lim dikatakan tidak memberi kerjasama dalam pindaan satu undang-undang mengenai pertukaran agama orang bukan Islam di bawah 18 tahun.

Menurut sumber, pindaan berkenaan sepatutnya dibahaskan dalam sesi DUN, tetapi DAP yang mengetahui rancangan tersebut telah meminta Suee Lim untuk “menekan brek.”

DAP berpendapat pindaan yang dicadangkan tersebut perlu diteliti secara mendalam sebelum dibawa ke DUN.

Kata sumber lagi, disebabkan Speaker tidak menerima arahan terbaru serta tiada lagi undang-undang dan isu yang perlu dibahaskan, maka beliau mengumumkan mesyuarat DUN ditangguhkan tanpa berbincang tentang undang-undang pertukaran agama tersebut.

Mesyuarat yang bermula Isnin lalu hanya berlangsung dua hari, iaitu sehingga Rabu.

Sumber berkata, Speaker kini dibidas sehingga ada wakil rakyat Islam yang melihat Suee Lim sebagai satu halangan.

Amirudin dikatakan telah memanggil sebahagian ADUN beragama Islam untuk satu mesyuarat khas bagi menjelaskan keadaan sebenar.

“Mereka yang hadir mesyuarat sangat marah dan mencadangkan undi tidak percaya ke atas Suee Lim dalam sesi DUN akan datang,” kata sumber.

Tambahnya, ada juga orang mencadangkan supaya tandatangan dikumpulkan dan diserahkan kepada pihak istana untuk menggugurkan Suee Lim.

Menurut maklumat, pada masa ini selain Selangor, Sabah dan Wilayah Persekutuan, undang-undang negeri lain menyatakan bahawa pertukaran agama untuk remaja bukan Islam di bawah 18 tahun hanya memerlukan persetujuan ibu atau bapa atau salah seorang penjaga.

Difahamkan, Selangor ingin meminda undang-undang supaya dasar pertukaran agama untuk remaja bukan Islam di bawah 18 tahun selari dengan negeri-negeri lain. – MalaysiaGazette