Kamil Ibrahim (kiri) dan Mohd Zarimi Abu Zih (kanan)

KUANTAN – Rakyat  diminta untuk menilai cara dua buah kerajaan negeri menangani isu air iaitu Kelantan dan Pahang, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Kamil Ibrahim.

Demikian reaksinya ketika membidas dakwaan Ketua Pemuda Pas Pahang mengenai isu air di negeri itu semalam.

Menurutnya, rakyat sememangnya mengetahui usaha keras kerajaan Pahang mengatasi masalah air secara drastik dan tersusun yang menelan kos jutaan ringgit berbanding Kelantan.

“Kedua-dua negeri ada isu air  namun yang beza ialah cara menangani isu berkenaan, boleh nilai cara Pahang dan Kelantan atasi krisis air dan negeri lain pun ada isu ini, cuma tolonglah pelihara kasih sayang masa bulan mulia ini, tidak perlu bangkitkan.

“Kalau ikutkan hati sudah lama saya nak isukan masalah air di Kelantan jauh lebih teruk walau pun bukan di musim lebaran tapi tidak tergamak sebab memikirkan aib kepada negeri yang ditadbir Pas sebagai kerajaan negeri.

“Masalah air yang berlaku di Kelantan sepanjang masa bukan sekadar musim raya di negeri yang ditadbir Pas selama puluhan tahun. Saya ulang puluhan tahun,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ini berdasarkan pengalamannya sendiri pada 2019 hingga 2021 sewaktu di Bachok, Kelantan dan mendapati taman perumahan terpaksa menggunakan air boring tanah sebagai bekalan air utama untuk setiap rumah.

Malah sehingga kini sudah memasuki tahun 2024 di mana rakyat Kelantan kebanyakannya masih bergantung kepada air boring tersebut.

Beliau sekali gus mempertikaikan apakah langkah dan peranan yang seharusnya diambil oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang memegang portfolio sebagai Ahli Parlimen Kubang Kerian dan Ahli Dewan Undangan Negeri Cheka dalam isu yang berlaku.

“Kenapa Ahli Parlimen Kubang Kerian Kelantan yang juga ADUN Cheka Pahang berdiam soal ini?

“Saya tolong jawabkan, kerana beliau tahu masalah air ini sentiasa berlaku di Parlimen beliau (Kubang Kerian) dan masih ada rakyat di kawasannya tidak menerima lagi bekalan air terawat ini serta masih menggunakan air boring tanah.

“Selain itu beliau juga tahu usaha keras Pahang mengatasi masalah air ini secara kosisten,” tambahnya.

Semalam, Ketua Pemuda Pas Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih menerusi kenyataan berkata, gangguan bekalan air di Pahang sentiasa berlaku setiap kali menjelangnya Syawal.

Pas mendakwa tiada satu pelan tindakan luar jangka untuk mengatasi gangguan bekalan air ketika Syawal oleh Menteri Besar Pahang dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Air Pahang Berhad (PAIP) yang menguruskan perihal air di Pahang.

“Kami Pemuda Pas Pahang kesal dengan apa yang berlaku tatkala Aidilfitri adalah hari untuk gembira dan meraikan kemenangan tetapi sudah beberapa kali dan saban tahun Syawal menjadi bulan rakyat berperang dengan pemasalahan air,” katanya. – MalaysiaGazette