David Beckham

LONDON – Bintang legenda bola sepak, David Beckham mengecam sekeras-kerasnya skandal seksual membabitkan pemain-pemain England.

Dalam temuramah bersama BBC, Beckham menyatakan hal itu tidak terjadi ketika dia bersama Manchester United.

“Masalah buli ini dilakukan oleh individu yang dianggap profesional. Misalnya, kalau kita mahu lalu di hadapan mereka, kita dipaksa melakukan tarian.

“Ia adalah penghinaan yang memalukan. Kes ini tidak pernah dianggap sebagai satu salah laku. Kini, sudah tiba masanya kita mengambil teladan daripada apa yang telah berlaku.

“Saya percaya FA England sedang melakukan apa yang termampu untuk masalah ini. Semakin ramai pemain dan bekas pemain profesional yang tampil semakin banyak ia membantu kita menangani isu ini.

“Saya bersama-sama dengan kelab-kelab bola sepak, dengan ini mengisytiharkan kami bersama dengan mereka dalam menangani isu serangan seksual ke atas pemain ini.”

Akhbar The Guardian mendedahkan peperangan terhadap bekas staf kejurulatihan, Barry Bennell.

Beliau adalah jurulatih bola sepak dan juga seorang penggilap bakat muda.

Benell kini berhadapan dengan pertuduhan beberapa siri gangguan seksual kepada pemain bawah umur di Amerika Syarikat dan England.

Pada akhir 2016, beberapa pemain tampil membongkar kes skandal serangan seksual ke atas pemain bola sepak dari sekitar 1970-an dan 1980-an.

Beberapa bekas pemain mendedahkan perlakuan lucah itu termasuk sehingga meliwat beberapa mangsa.

Bennell adalah pesalah seksual pedofil bersiri yang pernah bekerja dengan Crewe Alexandria.

Gangguan seksual ke atas pemain bawah umur itu menyebabkan ramai pemain berhadapan masalah tekanan mental yang kronik. Sehingga ada yang hampir membunuh diri.

Ada juga yang mulai ketagih alkohol dan mengambil dadah untuk menghilangkan tekanan.

Beberapa pemain turut mengambil keputusan bersara awal kerana tekanan mental dan fizikal.