Home Ekonomi Ringgit berlegar 4.42-4.43 minggu ini

Ringgit berlegar 4.42-4.43 minggu ini

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniaga lebih tinggi, purata antara 4.42 dan 4.43 minggu ini, disokong oleh jangkaan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) tidak menaikkan kadar faedah bulan depan.

Peniaga berkata, pengeluaran minit mesyuarat Rizab Persekutuan pada Rabu gagal merangsang jangkaan kenaikan kadar faedah pada Mac dan akan terus memberi tekanan ke atas dolar AS.

“Selain itu, sentimen terhadap dolar AS juga terjejas oleh kekurangan kemajuan serta ketidaktentuan mengenai pembaharuan cukai AS,” katanya.

Sementara itu, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia kekal tidak berubah pada AS$95 bilion (bersamaan RM426.2 bilion) setakat 15 Februari 2017 berbanding 31 Januari 2017.

Bank pusat itu berkata, ia cukup bagi membiayai 8.4 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar jangka pendek.

Untuk minggu baru berakhir, ringgit bergerak antara 4.4370 dan 4.4560 berbanding dolar AS.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit diniagakan lebih tinggi kepada 4.4370/4440 berbanding dolar AS daripada 4.4510/4550 Jumaat lepas.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit keseluruhannya diniaga lebih rendah, kecuali euro.

Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1612/1666 daripada 3.1416/1451 minggu lepas, jatuh berbanding yen kepada 3.9440/9513 daripada 3.9417/9463 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.5622/5719 daripada 5.5273/5336.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.7001/7084 daripada 4.7372/7428. – MalaysiaGazette