Hamzah Zainuddin

LARUT – Harga siling bagi petrol akan diumumkan setiap minggu mulai bulan depan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, harga itu akan diumumkan pada hari Isnin atau Sabtu setiap minggu berbanding hujung bulan pada masa sekarang.

Langkah itu membolehkan pengguna mengetahui harga semasa bahan bakar itu, selain mengelak kekeliruan.

“Kerajaan sedang menentukan harga bahan api untuk mengelakkan ia melebihi harga pasaran yang betul.

“Realitinya, apa yang Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan saya buat adalah untuk memastikan orang ramai tahun apa yang ditetapkan oleh Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia.

Katanya, terpulang kepada syarikat minyak untuk bekerjasama dengan persatuan bagi memastikan tiada sesiapa ketinggalan daripada mengetahui harga siling semasa melalui pendekatan yang ditetapkan kerajaan itu.

Hamzah, yang juga anggota Parlimen Larut, berkata, penetapan harga siling bahan api oleh kerajaan adalah bertujuan mengelak bahan api itu dijual melebihi harga yang sepatutnya di pasaran.

Mengulas lanjut, beliau berkata papan tanda harga siling bahan bakar akan diletakkan di semua stesen minyak di seluruh negara.

“Bila kita letak harga siling, terpulanglah kepada stesen minyak sama ada mahu menurunkan harga, atau bagaimana cara mereka nak (laksanakan) kempen (promosi) supaya orang datang (membeli) di stesen minyak mereka, termasuk menawarkan insentif,” katanya.

Mengenai permintaan Persatuan Peniaga-Peniaga Petroleum Perak (PPDA) supaya kerajaan tidak melaksanakan mekanisme harga siling, Hamzah berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan berhubung perkara itu semalam.

“Mereka menuntut beberapa penambahan dari segi margin (komisien) yang selama ini diberi kepada mereka

“Itu permintaan mereka, sama ada kerajaan bersetuju atau tidak, kita akan mengambil kira segala yang mereka mohon daripada kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette