Jacob George

KUALA LUMPUR – Penetapan harga siling bagi bahan bakar di Malaysia tidak akan menyebabkan pemilik-pemilik stesen minyak tempatan tutup kedai atau gulung tikar.

Ini kerana, mekanisme itu bukan pertama kali seumpamanya diperkenalkan di dunia, sebaliknya telah dilaksanakan dengan berjaya di kebanyakan negara.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Pengguna Shah Alam dan Subang, Datuk Dr. Jacob George berharap kerajaan meneruskan keputusan itu meskipun ia tidak mendapat reaksi positif dalam kalangan pengusaha stesen minyak.

“Selama ini, peniaga-peniaga stesen minyak sudah menikmati keuntungan besar daripada perniagaan monopoli.

“Jadi, sudah sampai masanya, apa yang diperoleh atau dinikmati selama ini dipulangkan semula kepada pengguna,” kata George kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata, dengan jenama-jenama petrol yang kukuh di pasaran tempatan, sukar untuk menerima pelbagai alasan bahawa perniagaan ini akan terjejas dengan penetapan harga siling.

Sebaliknya, kata, George, pengusaha-pengusaha yang perlu bekerja keras untuk bersaing dalam kelompok mereka, bukan sahaja dari segi penetapan harga tetapi perkhidmatan yang disediakan.

“Dalam era globalisasi dan persaingan, pengusaha-pengusaha stesen minyak perlu terbuka minda untuk membuat terbaik dan bukannya memberi pelbagai alasan semata-mata untuk menimbulkan kontroversi.

“Penetapan harga siling sudah diwujudkan di Australia, Vietnam, Indonesia, England, Amerika Syarikat dan Eropah. Tidak pula timbul masalah gulung tikar dalam kalangan operator minyak di negara-negara tersebut,” ujarnya.

Jelas beliau, dalam mana-mana perniagaan pun sudah tentu peniaga yang mampu menawarkan harga yang munasabah akan menjadi pilihan pengguna.

Sebab itu di Malaysia, katanya, pengguna sanggup pergi ke pasar-pasar raya atau kedai yang menawarkan harga murah meskipun lokasinya agak jauh.

Tidak juga timbul persoalan tentang pembuangan pekerja jika margin keuntungan pengendali-pengendali stesen merudum kerana majoriti besar pekerja terdiri daripada warga asing.

Tambah George, dakwaan stesen-stesen minyak di luar bandar akan terjejas juga tidak masuk akal memandangkan jumlah kenderaan di Malaysia menunjukkan pertambahan besar setiap tahun.

“Lebuh raya Utara-Selatan, Pantai Timur tidak pernah lengang, baik musim perayaan mahu pun hujung minggu. Ini bermakna rakyat Malaysia sentiasa bergerak dan mustahil pergerakan itu tidak melibatkan pembelian bahan bakar,” ujarnya. – MalaysiaGazette