Rex Tillerson

WASHINGTON – Amerika Syarikat menggesa Menteri-Menteri Luar Asia Tenggara membantu mengurangkan aliran dana untuk program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara serta mengurangkan hubungan diplomatik dengan Pyongyang.

Setiausaha Negaranya, Rex Tillerson juga menggesa pihak yang menuntut saingan di Laut China Selatan untuk menghentikan semua pembangunan pulau dan ketenteraan dan rundingan untuk mewujudkan kod maritim dijalankan.

Kenyataan itu diberikan dalam pertemuan pertamanya dengan 10 menteri luar ASEAN.

Dalam taklimat selepas pertemuan itu, Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat ke Asia Timur, Patrick Murphy berkata, Tillerson juga menekankan komitmen keselamatan dan ekonomi di rantau ini, di tengah-tengah kebimbangan tentang platform “Mendahulukan Amerika’ oleh Presiden Donald Trump dan pembatalan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik.

Tillerson menggesa negara-negara ASEAN untuk melaksanakan sepenuhnya sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke atas Pyongyang, yang telah mengabaikan tuntutan untuk menghentikn program senjata.

Sebaliknya negara itu sedang berusaha untuk membangunkan peluru berpandu nuklear yang disebut-sebut mampu mencapai Amerika Syarika.

“Banyak lagi yang boleh dilakukan, bukan sahaja di Asia Tenggara.

“Kita berkomunikasi dengan semua negara untuk melaksanakan resolusi Majlis Keselamatan PBB dan yang paling penting, menafikan hasil untuk Korea Utara yang hanya akan digunakan untuk memajukan program provokatif,” katanya.

Tillerson juga memberi amaran bahawa Washington akan mengenakan sekatan ke atas firma asing dan pihak-pihak yang menjalankan perniagaan dengan Korea Utara jika negara berkenaan tidak mematuhinya.

Semua anggota ASEAN mempunyai hubungan diplomatik dengan Korea Utara dengan lima negara mempunyai kedutaan di sana.

Murphy berkata, Washington tidak menggalakkan negara-negara ASEAN secara rasmi memutuskan hubungan diplomatik, tetapi memastikan kehadiran Korea Utara “tidak melebihi keperluan diplomatik.”

Beliau berkata, beberapa negara sudah melakukan dan juga melihat kehadiran pekerja Korea Utara sebagai satu lagi sumber pendapatan yang penting bagi Pyongyang. – MalaysiaGazette