Barisan kepemimpinan pakatan harapan.

KUALA LUMPUR – Keretakan hubungan Pas dengan Pakatan Harapan akan menyebabkan parti pembangkang berdepan risiko besar di kerusi-kerusi kelabu yang menjadi rebutan.

Penganalisis akhbar Cina, Datuk Cheah See Kian berkata, kegagalan mencapai kesepakatan antara pembangkang untuk satu lawan satu bermakna kerusi yang dimenangi dengan majoriti tipis iaitu dengan puluhan atau ratusan undi mungkin dirampas oleh Barisan Nasional (BN).

Beliau juga berpendapat Pas sukar untuk mengulangi kejayaan 21 kerusi Parlimen yang dimenangi pada 2013 jika ia memutuskan hubungan dengan parti pembangkang lain.

Katanya, tanpa kerjasama antara pembangkang, Pas malahan berdepan kesukaran untuk memenangi 10 kerusi Parlimen dalam pilihan raya akan datang.

“Terputusnya hubungan Pas dengan parti pembangkang merupakan perkara baik untuk BN sementara ia memberi tekanan kepada Pakatan Harapan.

“Pakatan Harapan kini perlu mencari jalan untuk menstabilkan kawasan yang dimenangi dengan majoriti tipis,” katanya kepada China Press.

See Kian juga berpendapat bahawa Pakatan Harapan harus memperkenalkan lambang bersama secara segera selain menyesuaikan diri dengan masa depan yang tidak mempunyai Pas di sisi mereka.

“Berdasarkan niat PKR selama ini yang mahu bekerjasama dengan Pas, ia menunjukkan Pas ialah parti yang tidak boleh dipandang remeh,” katanya.

Seorang lagi penganalisis, Dr. Thock Kiah Wah pula berkata, kehilangan kerjasama antara Pas dengan pembangkang lain mungkin menyebabkan parti itu berdepan kesukaran untuk mempertahankan kerajaan negeri Kelantan apabila berlaku pertandingan pelbagai penjuru di negeri itu.

Katanya, walaupun Pas berniat menjadi kuasa ketiga dengan membangkitkan ‘tsunami politik Islam’, tetapi tiada petanda bahawa ia akan berjaya.

Kiah Wah senada dengan See Kian bahawa BN akan mendapat manfaat dengan terputusnya kerjasama antara Pas dengan Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette