Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh menggesa polis mengambil tindakan terhadap pelakon `Mat Over’ kerana menyerang penerbit filem, Datuk David Teo di khalayak ramai pada majlis yang dihadiri perdana menteri Rabu lalu.

Menerusi kenyataan yang dipetik dari sebuah laman portal, Ramkarpal dilapor berkata, kegagalan polis bertindak terhadap pelakon Sulaiman Yassin hanya akan memberikan mesej buruk mengenai kecekapan polis disamping ‘satu tamparan kepada prinsip kedaulatan undang-undang’.

“Saya menyeru supaya Khalid (Tan Sri Khalid Abu Bakar) mengambil langkah perlu dengan menangkap Sulaiman bagi menyiasatnya kerana menyerang Teo,” katanya seperti dilaporkan.

Menurut Ramkarpal, polis sedia maklum tentang insiden itu dan perlu bertindak walaupun tanpa laporan kerana rakaman kejadian berkenaan tersebar luas.

Katanya, kegagalan polis berbuat demikian akan ditafsirkan sebagai kelalaian Khalid dalam tugasnya di samping memberikan mesej “orang ramai boleh terlepas daripada tindakan walaupun jenayah dilakukan di hadapan perdana menteri”.

Dalam insiden di Seri Perdana, Rabu lepas ketika sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dihadiri Datuk Seri Najib Razak dan puluhan penggiat seni terganggu seketika apabila Teo tampil mempersoalkan moderator Datuk Rosyam Nor kerana tidak memberi peluang kepada mereka yang berada di barisan belakang.

Keadaan menjadi kecoh apabila Sulaiman tiba-tiba meluru ke arah pentas dan menampar Teo, sambil disaksikan Najib.

Teo dan Mat Over kembali ke pentas di akhir sesi itu untuk memohon maaf kepada Najib.

Bagaimanapun, Mat Over dilaporkan berkata, beliau tidak menyesali perbuatannya, malah berkata ia perlu supaya mengajar Teo yang menurutnya biadap terhadap Najib. – MalaysiaGazette