TOKYO – Vanilla Air, syarikat penerbangan tambang murah Jepun memohon maaf kepada penumpang Orang Kelainan Upaya (OKU) yang terpaksa merangkak untuk menaiki tangga pesawat.

Sebelum ini, Hideto Kijima telah berlepas menaiki pesawat ke sebuah pulau dengan bantuan rakan-rakannya.

Tetapi apabila pulang dari Pulau Amami, kru syarikat penerbangan itu memberitahu Kijima tidak akan dibenarkan masuk jika gagal menaiki tangga tanpa bantuan.

Lantaran itu, Kijima telah meninggalkan kerusi roda dan menaiki tangga pesawat menggunakan tangannya.

Kijima adalah seorang pengembara yang berpengalaman dan Ketua Pusat Akses Pelancong Jepun, sebuah organisasi bukan keuntungan yang berkaitan dengan isu aksesibiliti bagi pelancong ke Jepun.

Beliau telah mengembara lebih daripada 200 lapangan terbang di 158 negara sejak lumpuh dari pinggang ke bawah selepas terlibat dalam kemalangan ragbi di sekolah pada tahun 1990.

Dalam catatan blog, beliau berkata, jika tidak ada kemudahan untuk penumpang yang kurang upaya, dia bergantung kepada bantuan rakan atau kakitangannya.

“Walaupun kadang-kala perjalanan kadang-kadang sukar, saya tidak pernah diberitahu tidak dapat menaiki pesawat.

“Saya terkejut dengan peraturan ketat ini. Tidakkah kakitangan lapangan terbang terfikir tindakan mereka itu salah,” katanya kepada Nippon TV.

Vanilla Air yang memohon maaf atas kejadian itu memaklumkan tentang langkah baru untuk membantu pengguna kerusi roda di lapangan terbang tersebut.

“Kami minta maaf kerana telah menyebabkan kesulitan itu,” kata seorang jurucakap syarikat. – MalaysiaGazette