Lim Guan Eng

PULAU PINANG – Majlis Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang yang bermesyuarat di sini hari ini meluluskan resolusi mempertahankan kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan peguam DAP, Ramkarpal Singh berhubung penahanan Phee Boon Poh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disifatkan tidak sah.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, PH negeri memaklumkan pendirian tersebut selari dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang mengetepikan perintah reman lanjutan ke atas Boon Poh.

Dalam pada itu, PH melahirkan rasa kesal terhadap tindakan SPRM yang disifatkan menjalankan penyiasatan secara dwi standard dan tidak membuat pendakwaan terhadap skandal besar 1MDB.

“Majlis juga bersolidariti bersama Boon Poh dan percaya beliau tidak menerima sebarang rasuah dan tidak mempunyai kepentingan dalam syarikat (kilang habuk kayu) tersebut.

“Beliau hanya menjalankan tugasnya sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” demikian menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Sebelum ini, SPRM memberi tempoh 48 jam kepada Guan Eng yang berakhir semalam selepas merujuk penahanan reman Boon Pooh bagi membantu siasatan kilang haram habuk kayu di Penanti di sini sebagai `penahanan haram’.

Pada 12 Ogos lalu, Boon Poh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan SPRM berhubung operasi kilang habuk kayu haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti di sini.

Bagaimanapun, tahanan reman Boon Poh itu serta dua individu pemilik kilang berkenaan dibatalkan Mahkamah Tinggi di sini pada 14 Ogos selepas mendapati bertentangan dengan Seksyen 117 (5) Kanun Prosedur Jenayah.- MalaysiaGazette