Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
PETALING JAYA – Biro Politik PKR akan memberi amaran lisan kepada naib presiden parti itu, Rafizi Ramli yang mendedahkan konflik dalaman parti.
Walaupun sesetengah cabang PKR mahu mengadakan persidangan khas untuk membantah “dialog PKR-Pas”, tetapi Biro Politik PKR tetap berpendapat bahawa “dialog persendirian” dengan Pas harus diteruskan.
Rafizi merupakan pemimpin utama dalam PKR yang membantah dialog tersebut. Biro Politik PKR bagaimanapun berpendapat kenyataan terbuka Rafizi mengenai isu tersebut telah menjatuhkan reputasi parti.
“Di bawah nasihat Datuk Seri Anwar Ibrahim, parti buat sementara waktu hanya akan mengeluarkan amaran lisan kepada Rafizi.
“Jika Rafizi terus membuat kecoh, tiada siapa pun yang dapat menjamin bahawa beliau tidak akan dipecat daripada parti pada masa depan,” kata sumber kepada Sinchew Daily.
Kata sumber lagi, PKR mahu meneruskan dialog dengan Pas kerana ia juga merupakan hasrat Anwar yang merupakan ketua umum parti pembangkang tersebut.
Dialog dengan Pas merupakan pencaturan PKR untuk mengelakkan pertarungan dengan Pas dalam pilihan raya.
“Cabarannya bukan Pas sahaja tetapi juga membabitkan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.
“Oleh itu, kami akan terus bekerjasama dengan Pas, Parti Sosialis dan parti-parti Sabah dan Sarawak,” katanya.
Menurutnya lagi, dialog dengan Pas adalah bertujuan mencari pendekatan supaya pembangkang dapat menentang UMNO secara satu lawan satu.
Tambahnya, dialog dengan Pas bukan berbentuk kerjasama politik.