Thursday, May 9, 2024
Home Seni Hidup Idea hasil Telekung Qasha di Mekah

Idea hasil Telekung Qasha di Mekah

Pengasas Telekung Qasha, Azilah Akashah (tengah) bergambar bersama peragawati yang memperagakan Telekung Qasha pada Majlis Pembukaan Butik Telekung Qasha di Bangi Sentral, Selangor. foto SAFWAN MANSOR, 08 SEPTEMBER 2017

BANGI – Semuanya tercetus ketika beliau mengerjakan umrah tahun lalu. Ketika itu di Tanah Suci Mekah, wanita berusia 55 tahun ini melihat ramai muslimah dari seluruh dunia memakai telekung.

Lantas beliau menyimpan impian untuk menghasilkan telekung sendiri. Sebaik sahaja kembali ke tanah air, Azilah Akashah menghasilkan sendiri rekaan telekung dengan fabrik kain kapas yang diimport dari India.

Berani mengambil risiko melabur RM300,000, Azilah tampil dengan dua jenis telekung iaitu khusus untuk dipakai muslimah yang mengerjakan umrah dan untuk solat.

Dan hari ini Azilah merupakan pengasas Telekung Qasha yang terletak di Bangi Sentral di sini.

Majlis pelancaran Butik Qasha itu disempurnakan oleh Ustazah Norhafizah Musa, semalam.

“Sebenarnya bukan senang hendak sampai pada tahap ini. Enam kali saya gagal dalam perniagaan namun ia pernah mematahkan semangat untuk bangkit mengusahakan perniagaan telekung pula.

“Saya mahu bangkit dan berusaha untuk memastikan dunia perniagaan telekung mampu direalisasikan,” katanya anak kelahiran Perak ini.
Peragawati memperagakan produk Telekung Qasha pada Majlis Pembukaan Butik Telekung Qasha di Bangi Sentral, Selangor. foto SAFWAN MANSOR, 08 SEPTEMBER 2017

Azilah turut memberitahu, nama Qasha dipilih sempena nama allahyarham ayahnya, Akashah Abdul Samad dengan tagline Biar Hati Berbicara.

Mengulas lanjut, beliau mengakui koleksi Telekung Qasha kembali kepada warna asal telekung apabila menggunakan warna putih keseluruhan.

“Putih adalah warna yang suci dan bersih. Jadi apabila kita menghadap Tuhan, putih lebih mendekatkan kita kepada Allah swt.

“Jadi Telekung Qasha menggunakan warna putih termasuk di corak di kaki telekung,” jelas Azilah yang pernah berkecimpung dalam bidang hartanah.

Azilah berkata, telekung yang dihasilkannya itu bermotifkan bunga reflesia dengan sulaman tebuk dijahit pada kaki telekung dan kaki kain telekung yang mampu mengimbau kenangan buat golongan kaum ibu dan warga emas.

Bagaimanapun beliau yakin Telekung Qasha turut menjadi pilihan generasi muda.

Peragawati memperagakan produk Telekung Qasha pada Majlis Pembukaan Butik Telekung Qasha di Bangi Sentral, Selangor. foto SAFWAN MANSOR, 08 SEPTEMBER 2017

Sementara itu, Telekung Qasha memberikan diskaun 15 peratus kepada pelanggan yang berkunjung ke butiknya pada hujung minggu ini.

Ia dijual bermula dengan harga RM170 bagi sepasang telekung.

Telekung Qasha didatangkan dengan dua jenis iaitu standard dan premier menggunakan label nama anak-anak Azilah iaitu Telekung Tasha, Telekung Dalifa dan Telekung Zulaikha. – MalaysiaGazette