JOHOR BAHRU – Alat ‘machine sealer’ di Bilik Packing Dewan Bedah Hospital Sultanah Aminah (HSA) terbakar semalam, namun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan akibat kejadian itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata kejadian pada 3.50 petang itu disedari seorang jururawat.

“Jururawat berkenaan ternampak api terpercik keluar daripada ‘machine sealer’ itu. Tindakan pemadaman api dilakukan serta-merta mengikut protokol sedia ada dan api dapat dipadamkan dengan segera,” katanya menerusi kenyataan di sini Ahad.

Ayub berkata alat machine sealer digunakan pada setiap syif bertujuan membungkus peralatan pembedahan sebelum dihantar ke Central Sterile Service Unit (CSSU) untuk disterilkan.

Beliau berkata tiada kawasan atau alatan lain terlibat dalam insiden terpencil itu dan panggilan bomba kemudian dibuat bagi bantuan kecemasan serta pemeriksaan lanjut.-BERNAMA