KUALA LUMPUR – Dua penyanyi bervokal emas, Liza Hanim, Aishah selain Hazami antara peserta yang bakal menggegarkan pentas program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4) yang akan bermula 29 Oktober ini.
GV4 turut membuka peluang kepada artis Singapura iaitu Ferhad dan Indonesia (Firman) sebagai satu kelainan berbanding tiga musim terdahulu.
Selain mereka, turut memberi saingan adalah Raja Azura, Syura Badron, Elyana, Tia Jinbara, Aqasha, Lan Kristal dan Haida.
“Datuk Ramli MS juga dikekalkan untuk menilai persembahan peserta selaku juri tetap di samping seorang lagi otai yang akan diperkenalkan kelak. Seperti biasa, akan terdapat seorang juri undangan,” kata Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad pada sidang media GV4, semalam.
Sementara itu, juara bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 di samping hadiah lain tajaan barisan penaja seperti Pamoga Vida Beauty Empire. – MalaysiaGazette