JAKARTA – Projek pembersihan sungai di pulau Jawa yang mengambil masa selama tujuh tahun akan mengakibatkan bekalan air dari sungai Citarum hanya boleh diminum selepas tempoh berikut, kata Presiden Indonesia, Joko ‘Jokowi’ Widodo.

Ujar beliau, sungai tersebut kini menjadi antara yang tercemar di dunia perlu mengambil tempoh masa yang lama sebelum selamat digunakan.

“Sungai Citarum pernah jernih sebelum menjadi paling tercemar. Kami sedang cuba membersihkannya secepat mungkin dalam tempoh tujuh tahun dan selepas itu ia boleh menjadi sumber air minuman,” kata Jokowi pada akaun Twitter.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di sungai itu di Jawa Barat baru-baru ini.

Sungai Citarum mengalir 300 kilometer dari mata air di Jawa Barat ke laut berhampiran ibu kota ini dan ia menjadi sumber tenaga untuk tiga stesen hidroelektrik, serta digunakan untuk mengairi 400,000 hektar sawah padi.

Tebing sungai Citarum pula menjadi sumber kehidupan 28 juta penduduk, walaupun sungai itu dipenuhi sisa domestik dan dicemari paras pewarna serta logam berat yang tinggi hasil buangan aktiviti pengilangan.

Untuk rekod, Bank Pembangunan Asia (ADB) meluluskan pinjaman AS$500 juta (RM1.95 bilion) kepada Indonesia pada 2009 untuk membantu membersihkan sungai itu.

Usaha pembersihan terbaharu itu bermula sejak awal bulan ini, membabitkan polis, tentera, beberapa jabatan kerajaan, pelbagai pertubuhan serta penduduk awam di 25 daerah sepanjang sungai terbabit mengalir. – MalaysiaGazette