Aviation House
PNB dan WeWork memeterai perjanjian pajakan selama 20 tahun Aviation House.

KUALA LUMPUR- Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dan WeWork Companies Inc. memeterai perjanjian pajakan selama 20 tahun bagi keseluruhan ruang pejabat di Aviation House, London.

Perjanjian bagi 130,000 kaki persegi ruang pejabat itu merupakan kerjasama pertama untuk kedua-dua belah pihak.

Dalam kenyataan bersamanya hari ini, PNB dan WeWork berkata, hartanah yang terletak di seberang stesen bawah tanah Holborn yang berhampiran dengan Crossrail dijangka siap pada Disember 2019.

Aviation House merupakan salah sebuah hartanah di London yang telah diambil alih PNB sejak 2014.

WeWork akan mengubah lapan tingkat teratas bangunan tersebut dengan pejabat-pejabat Gred A dan ruang runcit.

“Kami gembira apabila dapat memeterai perjanjian pajakan jangka panjang dengan WeWork kerana ia memberikan peluang untuk merubah bangunan tersebut dan meningkatkan nilai hartanah berkenaan.

“Aviation House telah dibina pada 1991 dan sudah hampir 20 tahun ia diberi wajah baharu buat kali terakhir.

“Kami tidak sabar untuk melihat penambahbaikan dan kehebatan yang bakal dilakukan oleh WeWork terhadap bangunan ini dan dalam masa yang sama akan meneroka peluang-peluang lain untuk bekerjasama dengan firma berkenaan pada masa akan datang,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Naib Presiden Kanan Hartanah WeWork, Patrick Nelson berkata, mereka teruja untuk bekerjasama dengan PNB bagi merubah wajah bangunan bersejarah itu.

“Terletak di Holborn iaitu di tengah-tengah bandaraya, bangunan tersebut disambungkan dengan system pengangkutan dan elemen senibina yang indah seperti pintu masuk gereja lama.

“Aspek-aspek ini ditambah dengan akses mudah kepada kedai-kedai tempatan, restoran dan kemudahan asas yang lain akan memberi manfaat kepada ahli-ahli kami dan memberikan mereka peluang untuk bekerjasama dengan komuniti usahawan dan perniagaan yang mempunyai minat yang sama,” katanya dalam kenyataan tersebut sambil menambah WeWork mempunyai 24 lokasi terbuka dan 26,000 ahli.

Ketika ini mempunyai dua lagi aset di London iaitu One Exchange Square dan PNB House.-MalaysiaGazette