BNM
Bangunan Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Satu operasi serbuan telah dijalankan ke atas Axios Group Sdn Bhd di Cheras pada 24 Mei 2018. Axios Group Sdn Bhd disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 139(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 kerana menggunakan perkataan “bank” di papan tanda premis pejabat dan laman sesawangnya tanpa kelulusan bertulis daripada Bank Negara Malaysia.

Semasa serbuan, dokumen-dokumen yang berkaitan dan beberapa buah komputer telah dirampas bagi membantu siasatan, menurut Bank Negara Malaysia.

Katanya, di bawah seksyen 139(1) Akta Perkhidmatan Kewangan, adalah menjadi suatu kesalahan bagi mana-mana individu menggunakan perkataan “bank” tanpa mendapat kelulusan bertulis kecuali individu tersebut diberikan lesen di bawah akta ini untuk menjalankan perniagaan perbankan atau perniagaan perbankan pelaburan.

Sekiranya didapati bersalah, individu tersebut boleh dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi lapan tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM25 juta atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap syarikat-syarikat tidak berlesen yang menggunakan perkataan “bank” tanpa mendapatkan kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada Bank Negara Malaysia dan perlu merujuk senarai institusi kewangan berlesen yang terdapat di laman sesawang Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my). – MalaysiaGazette