Model-model keluaran Perodua foto AFFAN FAUZI, 19 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Bermula esok, semua kenderaan Perodua secara purata berharga 5.6 peratus lebih rendah berbanding sebelumnya berikutan pelaksanaan sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr. Zahari Husin berkata, pembayaran balik GST untuk pembelian kenderaan, servis dan pembelian alat ganti dari 18 sehingga 31 Mei akan berakhir kerana pelanggan akan membayar 0% GST mulai 1 Jun.

“Memandangkan kerajaan telah mengumumkan bahawa Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diperkenalkan semula pada bulan September, kami menggalakkan semua rakyat Malaysia untuk menggunakan kesempatan yang terbaik dalam tempoh tiga bulan ini untuk membeli kenderaan Perodua,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahan kepada sifar GST, untuk bulan Jun, Perodua juga menawarkan rebat sehingga RM800 untuk model dan varian yang terpilih. – MalaysiaGazette